adenan

KUCHING: Kerajaan Sarawak berhasrat untuk mengembalikan status Sarawak kepada kedudukan asal sebelum pindaan Perlembagaan dilakukan pada 1976 dan meminta Putrajaya mempertimbangkan negeri itu setaraf dengan Persekutuan Tanah Melayu kerana ia merupakan satu daripada pihak yang memetrai Perjanjian Malaysia 53 tahun lalu.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata, Sarawak bukan hanya satu daripada 14 negeri dan wilayah kerana di bawah Perlembagaan asal Persekutuan, dimaktubkan bahawa Persekutuan Malaysia terdiri daripada semua negeri di Persekutuan Tanah Melayu, negeri Sabah dan Sarawak di Borneo dan Singapura.

“Selepas pindaan pada 1976, Sarawak menjadi satu daripada 14 negeri di Malaysia,” kata Adenan kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Sejarah Sarawak yang mengupas tajuk berkaitan dengan pembentukan Malaysia.

Pindaan itu menurut beliau telah menyebabkan kuasa Sarawak terhakis, justeru beliau mahu mengembalikan hak dan kedudukan Sarawak kepada keadaan asal.

5657

Adenan turut menghujahkan bahawa pindaan berkenaan adalah tidak sah dan batal kerana melanggar Perjanjian Malaysia, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan dan Laporan Suruhanjaya Cobbold.

Ujarnya, Sarawak ialah satu daripada pihak yang tandatangani Perjanjian Malaysia pada 1963, dan dengan itu punya taraf sama.

Terdahulu, dalam ucapannya Ketua Menteri yang dengan tegas telah menuntut hak dan autonomi Sarawak sejak mengambil alih kepemimpinan pada 2015 berkata, Sarawak bukan satu daripada negeri dalam Persekutuan pada 1963 tetap negeri pengasas dan terdapat perbezaan antara negeri pengasas dengan kedudukan negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu.

“Kemungkinan itu ialah kesilapan kita kerana tidak menentang pindaan pada 1976,” katanya sambil menambah beliau tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam kes itu.

Sementara itu, Profesor Datin Paduka Ramlah Adam berkata isu berkaitan Perjanjian 18/20 Perkara telah diserapkan dalam Perlembagaan dan ketika Malaysia dibentuk negeri persekutuan telah kehilangan nama asal, Persekutuan Tanah Melayu yang disifatkannya sebagai satu pengorbanan.

LEAVE A REPLY