saharul ridzuan
Cover image via tintadijemariku.blogspot.com

DESAS-DESUS mengenai majlis perkahwinan dramatis popular, Saharul Ridzuan telah lama diperkatakan oleh khalayak. Bahkan, sejak awal tahun ini, khabar angin yang mengatakan pelakon drama bersiri Kau, Aku, Kita itu telah bertunang secara senyap juga bertiup kencang.

Bagaimanapun, Saharul atau nama lengkapnya, Mohd. Saharul Ridzuan Hashim, 27, enggan membuka mulut setiap kali diminta oleh wartawan untuk menjelaskan khabar angin berkenaan.

Sehingga sekitar sebulan yang lalu, imej kad kahwin Saharul tersebar di internet dan pelakon kelahiran Kuantan, Pahang itu dikatakan bakal mengakhiri zaman bujangnya pada 16 September depan.

Saharul akhirnya membuka mulut dan mengesahkan bahawa ahli perniagaan bernama Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir, 28, sebagai wanita yang bakal menjadi suri hatinya.

Saharul, fakta mengenai majlis perkahwinan anda telah tersebar di internet beberapa bulan lalu. Mengapa baru sekarang anda mengesahkan nama dan identiti bakal isteri?

SAHARUL: Saya tidak berniat untuk merahsiakan tentang majlis perkahwinan ini, apatah lagi enggan menjawab pertanyaan yang diajukan oleh pihak media. Saya hanya berlaku adil kerana enggan ada pihak yang terasa hati. Justeru, saya memilih untuk mengadakan sidang akhbar bagi supaya perkara ini dapat diperjelaskan dengan cara yang formal.

Adakah butiran mengenai majlis pernikahan anda benar seperti yang dilaporkan oleh beberapa portal hiburan tempatan?

Ya, benar. Saya bakal bernikah dengan Deena pada 16 September depan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, manakala majlis resepsi pula akan diadakan di Dewan Seri Siantan, Presint 3, Putrajaya pada sebelah malam hari yang sama. Kedua-dua majlis akan diadakan secara tertutup.

Benarkah anda juga dikatakan telah bertunang secara senyap sebelum ini?

Dakwaan tersebut tidak benar. Saya dan Deena tidak bertunang secara senyap.

Mengapakah anda mengambil pendekatan untuk tidak menghebahkan kisah cinta kepada umum? Benarkah Deena adalah bekas kekasih anda?

Sejujurnya, saya dan Deena tidak pernah menjalinkan hubungan cinta. Kami berkenalan sekitar empat tahun lalu dan hubungan tersebut tidak lebih daripada kawan biasa sahaja. Kemudian, saya dan Deena terputus hubungan. Sehingga Januari lalu, kami bertemu kembali dan terus mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Tidakkah keputusan tersebut dilihat terburu-buru?

Tidak sama sekali. Sejak bertemu dengannya awal tahun lalu, kami mula serasi. Kami bersetuju untuk mendirikan rumah tangga kerana masing-masing telah matang dan bersedia.

Jadi, anda memilih untuk bercinta selepas berkahwin?

Benar, saya lebih selesa jika perasaan cinta itu hadir selepas kami berkahwin. Ia merupakan satu tanggungjawab baharu dan saya sudah bersedia untuk ke arah itu.

Anda sedar bahawa karier sebagai seorang pelakon bakal mendedahkan setiap inci ruang peribadi, termasuk hal berkaitan perkahwinan. Pernah berbincang dengan bakal isteri mengenai perkara ini?

Saya rasa ini merupakan tanggungjawab sebagai bakal suami untuk memberitahu bahawa karier sebagai pelakon adalah sumber rezeki untuk menyara keluarga kelak. Kami pernah berbincang dan saya bersyukur kerana dia sangat memahami.

Bagaimanakah dengan persiapan perkahwinan? Adakah anda menerima tajaan seperti selebriti lain?

Alhamdulillah, persiapan telah hampir selesai dan saya berharap agar majlis perkahwinan kami berjalan tanpa sebarang masalah. Saya bertuah kerana ramai yang ingin menaja perkahwinan kami. Namun, saya hanya menerima dua tajaan iaitu servis fotografi dan rekaan pelamin. Selebihnya, saya mengeluarkan belanja sendiri.

Mengapakah anda tidak mahu menerima tajaan?

Saya mahu menjadi seperti individu lain dengan merancang majlis menggunakan duit hasil titik peluh sendiri. Tambahan pula, ia melibatkan makanan yang ingin dijamu kepada jemputan. Jadi, lebih baik saya menguruskan semuanya.

Anda mempunyai kelompok peminat yang besar. Adakah anda merancang untuk mengadakan majlis resepsi khas untuk peminat?

Majlis resepsi untuk peminat bakal diadakan pada 18 September. Bagaimanapun, lokasinya masih belum ditentukan.

Artikel berkaitan: Saharul Ridzwan Nafi Bakal Nikahi Bekas Kekasih

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here