Thursday, June 29, 2017
Home News Sport Safiq Kembali Jadi Kapten Malaysia

Safiq Kembali Jadi Kapten Malaysia

51
0
Safiq

JOHOR BAHRU – Perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan esok bakal menyaksikan lilitan lengan kapten Harimau Malaya kembali kepada Safiq Rahim yang bakal menyarung semula jersi skuad kebangsaan selepas mengumumkan persaraan pada Julai tahun lalu.

Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada berkata, ketika ini individu paling tepat untuk menggalas tanggungjawab itu adalah Safiq berdasarkan beberapa faktor.

Menurutnya, Safiq bukan sahaja memiliki keupayaan selaku ketua di atas padang, tetapi pemilihannya juga dibuat atas persetujuan semua pihak termasuk pemain dan pengurusan.

“Memang ada pemain yang lebih senior daripadanya, mereka juga sememangnya layak untuk memikul tanggungjawab itu tetapi Safiq telah menjadi kapten sebelum ini dan dia merupakan wakil sesuai buat pasukan.

“Tanggungjawab yang diberikan terhadap dia amat besar. Selaku kapten, dia mewakili saya di atas padang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Hotel Thistle di sini hari ini. Turut hadir, Penolong Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Harimau Malaya bakal menerima kunjungan Lubnan dalam perlawanan kumpulan pertama mereka bagi peringkat kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini esok.

Menurut Vingada lagi, pihak­nya tidak mahu terlalu memberi fokus kepada pasukan Lubnan dalam perlawanan esok sebaliknya mahu memastikan pemain kebangsaan mempamerkan persembahan terbaik mereka.

“Tidak dinafikan Lubnan memiliki beberapa kelebihan antaranya saiz fizikal yang lebih besar, namun itu tidak seharusnya menjadi masalah buat kami.

“Saya yakin pemain cukup bermotivasi untuk mendapatkan keputusan baik dalam perlawanan esok, keputusan baik pastinya bermakna kemenangan,” katanya.

Sementara itu, Safiq berterima kasih kepada semua pihak kerana memberinya kepercayaan untuk kembali menggalas tugas selaku kapten pasukan.

“Skuad Harimau Malaya kini sudah berwajah baharu dengan semangat yang baharu, oleh itu saya menyeru rakan-rakan untuk memberi persembahan terbaik dalam perlawanan esok.

“Kita perlu sentiasa positif, kita memiliki kelebihan bermain di hadapan penyokong tempatan dan pastinya itu akan menjadi pendorong buat kami untuk melakukan yang terbaik,” katanya.

Safiq nekad untuk berusaha mencatatkan kemenangan dan tidak berhasrat untuk menghampakan peminat bola sepak tempatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here