Sumber imej: bigdogdotcom.files.wordpress.com

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, menyifatkan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang yang diadakan di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, di sini, malam ini, sebagai pengiktirafan dan penghormatan tinggi kepada rakyat dan negeri Sabah.

Beliau berkata, kepercayaan kepemimpinan Pusat khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jelas membuktikan kepentingan Sabah dalam Persekutuan Malaysia bagi menyemarakkan Bulan Kebangsaan 2016.

“Pada malam ini dan program bersama rakyat yang kita adakan sebelumnya di seluruh Sabah yang dihadiri pucuk pimpinan negara, kita orang Sabah ‘tatap’ setia memberi sokongan padu, sambutan yang luar biasa dan semangat patriotik membara.

“Sebagaimana kita saksikan malam ini, puluhan ribu rakyat Malaysia dari seluruh negeri datang dan berkumpul membanjiri kawasan ini, atas rasa kecintaan kepada negara dan semangat Sehati Sejiwa untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan menjayakan acara yang dirancang sepanjang Bulan Kebangsaan 2016.

“Inilah bukti kita di Sabah berasa amat bersyukur dan bertuah, sentiasa menghargai nikmat kemerdekaan, keamanan dan kemajuan yang dikecapi selama ini di bawah panji Jalur Gemilang dan naungan negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat,” katanya pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, di sini, sebentar tadi.

IMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak mengibar jalur gemilang pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, di Tawau. Sember foto: BHOnline

Majlis berkenaan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mewakili Perdana Menteri. Yang turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Kebangsaan sambutan dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Peringkat Negeri, Datuk Hajiji Noor.

Musa berkata, rakyat Malaysia di Sabah mendapat banyak manfaat dan nikmat hasil daripada kemerdekaan, manakala kerajaan terus komited melaksanakan banyak agenda pembangunan untuk membantu rakyat.

“Kemajuan, kestabilan dan kemakmuran yang kita nikmati selama ini bukannya janji kosong, bukannya slogan semata-mata. Fakta dan realitinya telah ada di hadapan mata, yang dapat kita nikmati dan manfaatkan.

“Buktinya, Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah termasuk Pakej Tawau-Sandakan rancak dilaksanakan yang bakal mewujudkan satu sistem perhubungan jalan raya sistematik, efisien dan selesa untuk rakyat seterusnya menjana pembangunan sosio ekonomi dengan lebih pantas.

“Begitu juga Pusat Transformasi Bandar (UTC) Tawau yang telah pun siap dan akan memulakan operasinya pertengahan bulan ini menyediakan pelbagai perkhidmatan dengan cekap dan mudah untuk rakyat,” katanya.

LEAVE A REPLY