esszone

KOTA KINABALU: Perintah berkurung di kawasan perairan di tujuh daerah di Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir semalam, akan dilanjutkan sehingga 13 Dis, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun.

Abdul Rashid berkata perintah berkurung yang berkuat kuasa dari 6 petang hingga jam 6 pagi itu membabitkan kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“Dengan berkuatkuasanya perintah berkurung ini, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah (dan orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada) di kawasan yang telah diisytiharkan pada waktu dinyatakan.

“Keperluan untuk meneruskan perintah berkurung ialah untuk memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong luar negara yang melawat pulau peranginan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

51451125749_esszone

Abdul Rashid berkata berdasarkan maklumat yang diterima, kumpulan pengganas Abu Sayyaf dan penjenayah dari selatan Filipina yang melakukan penculikan untuk mendapat wang tebusan, masih cuba menceroboh untuk melakukan jenayah rentas sempadan.

Beliau juga berkata perintah berkurung itu diteruskan bagi menjamin keselamatan pengguna perairan tersebut serta mereka yang tinggal di kawasan daratan ESSZone.

Menurutnya, perintah berkurung itu akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot, sekali gus mewujudkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran anggota keselamatan di sekitar kawasan mereka.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di kawasan ESSZone untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon bagi tujuan aktiviti perikanan atau laluan melalui kawasan perintah berkurung yang mendesak,” katanya.

LEAVE A REPLY