esszone
Foto oleh Satu Sabah

KOTA KINABALU: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir semalam dilanjutkan mulai hari ini hingga 11 November dengan perubahan pada masa penguatkuasaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun berkata, masa penguatkuasaan bermula hari ini ialah dari jam 6 petang hingga 6 pagi berbanding sebelum ini iaitu dari jam 7 malam hingga 5 pagi.

Beliau berkata dengan perlanjutan itu, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan diminta berada di rumah dan dilarang memasuki kawasan berkenaan sepanjang tempoh itu.

Menurutnya, perairan yang terlibat dalam perintah berkurung itu meliputi daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

ess

“Keperluan untuk meneruskan perintah berkurung di situ ialah untuk memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong luar negara yang melawat pulau peranginan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diterima, kumpulan pengganas Abu Sayyaf dan penjenayah dari selatan Filipina yang melakukan penculikan untuk mendapat wang tebusan, masih cuba menceroboh untuk melakukan jenayah rentas sempadan.

Abdul Rashid berkata perintah berkurung itu juga diteruskan bagi menjamin keselamatan pengguna di perairan tersebut serta mereka yang tinggal di kawasan daratan ESSZone.

Menurutnya, perintah berkurung itu akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot, sekali gus mewujudkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran anggota keselamatan di sekitar kawasan mereka.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di kawasan Esszone untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon bagi tujuan aktiviti perikanan atau laluan melalui kawasan perintah berkurung yang mendesak,” katanya. – BERNAMA

 

LEAVE A REPLY