Muhyiddin

JIKA benar Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin menyokong Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016 (RUU355), kenapa pula beliau menafikannya?

Adakah ada kemungkinan Muhyiddin diarah berbuat demikian oleh Penasihat PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad?

Ataupun, adakah terdapat pihak lain yang mengarahkannya terutamanya seteru parti itu iaitu DAP yang dipimpin diktator selama 51 tahun iaitu Lim Kit Siang?

Pada 12 Mac 2017, Timbalan presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan Muhyiddin menyokong cadangan pindaan RUU355 yang dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Muhyiddin dalam suatu mesyuarat bersama PAS menyatakan beliau akan memberikan komitmen sepenuhnya dalam isu yang berbangkit di Dewan Rakyat termasuk isu RUU 355.

PAS dan PPBM sebelum ini ada mengadakan pertemuan dalam usaha mencari serta memperhalus rangka kerjasama persefahaman politik antara kedua-dua parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Tindakan PPBM itu sekali gus dilihat sebagai cubaan parti itu menjadi orang tengah dalam perbalahan yang wujud antara parti komponen Pakatan Harapan iaitu DAP dan Amanah.

Muhyiddin pula merupakan satu-satunya ahli Parlimen yang mewakili PPBM.

Bagaimanapun, pada 14 Mac 2017, Muhyiddin tiba-tiba menyifatkan kenyataan bahawa PPBM menyokong RUU355 adalah satu andaian.

Muhyiddin malah memaklumkan, PPBM belum dapat membuat keputusan berhubung perkara tersebut selagi ia tidak dibentangkan di Dewan Rakyat.

PAS pula tidak sepatutnya tidak terkejut dengan penafian Muhyiddin itu.

Apabila menjalinkan hubungan dengan DAP, sudah tentu PPBM perlu menjadi parti yang perlu mendapat restu DAP dalam percaturan politiknya.

Sejak penubuhan PPBM, Mahathir sendiri sanggup merendahkan martabatnya sebagai negarawan dengan menghadiri persidangan kebangsaan DAP di Shah Alam, Selangor.

Penasihat PPBM itu juga secara terbuka menarik balik segala pandangan serta kritikannya terhadap DAP sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

Mahathir juga tanpa berselindung lagi memuji DAP yang dianggap jauh lebih baik daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan Gerakan.

Berbalik kepada RUU355, adakah Muhyiddin sebenarnya memang menyokong pindaannya?

Adakah Muhyiddin terpaksa mengubah pendiriannya mengenai RUU355 selepas bertemu dengan Mahathir?

Sebenarnya, tidak ada apa yang mampu Muhyiddin lakukan. PPBM telah menjalinkan hubungan dengan Pakatan Harapan diketuai DAP dan sudah tentu PPBM perlu mendapat restu DAP dalam apa jua keputusan yang hendak dibuat.

Tambahan lagi, siapa Muhyiddin mahu membantah kehendak politik rakus Mahathir?

Walaupun menjadi Presiden tetapi yang menentukan pelantikan Muhyiddin ialah Mahathir dan sebab itulah Muhyiddin tidak boleh bersuara apabila Mahathir melantik anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai Timbalan Presiden.

Muhyiddin terpaksa akur kerana apabila beliau bersetuju bergabung dalam gerakan politik Mahathir, beliau tidak mempunyai banyak kuasa dalam menentukan perjalanan politik PPBM.

Segala-galanya Mahathir yang akan menentukannya termasuk dalam perkara berkaitan sokongan kepada RUU355.

Umum mengetahui, pada 19 Februari 2017, Mahathir membidas PAS dan melabelkan Himpunan 355 anjuran parti itu sebagai berbaur politik dan hanya usaha untuk memancing undi.

Sejak menjadi Pengerusi PPBM, belum pernah sekali Mahathir memuji dan menyatakan kebaikan PAS seperti beliau memuji DAP serta menarik balik segala kenyataannya berhubung parti itu.

Kenapa dengan DAP Mahathir boleh mencari jalan untuk berbaik-baik tetapi tidak pula dengan PAS?

Persoalan besar di sini, kalau dalam isu RUU355 pun PPBM berbelah bahagi, bagaimanakah masa depan orang Melayu dan umat Islam yang boleh diharapkan parti itu untuk memperjuangkan nasib mereka? Sudah tentu terlalu mustahil.

PPBM pasti tahu tiada salahnya RUU355 disokong, tidak kira sama ada ia akan dibentang oleh PAS mahupun kerajaan.

Ini memandangkan pindaan RUU itu hanya bertujuan untuk memperkasa Mahkamah Syariah dan menambah hukuman dalam kes jenayah syariah serta paling penting ia sama sekali tidak melibatkan orang bukan Islam.

Tetapi kenapa PPBM dilihat seperti keberatan untuk menyokong cadangan pindaan RUU355?

Situasi sebenarnya ialah PPBM mahu menjaga hati DAP, selain memahami RUU355 turut ditentang oleh PKR dan PAN. Keutamaan PPBM ialah perasaan ketiga-tiga parti itu, bukannya PAS.

Dalam situasi Muhyiddin pula, adakah beliau terpaksa akur kepada Mahathir dan DAP yang daripada awal tidak menyokong RUU355?

Jawapannya, hanya Muhyiddin sahaja yang tahu. Sebagai parti yang dipimpin oleh ketuanya seorang Islam, sewajarnya RUU355 disokong.

Tetapi apakan daya, matlamat dan kepentingan politik mengatasi segalanya dalam PPBM yang sudah jelas ditentukan hala tujunya oleh Mahathir dan bukan Muhyiddin.

LEAVE A REPLY