RUU

SIDANG Dewan Rakyat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-13  yang telah bermula minggu lepas telah menyaksikan pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Tidak dinafikan, sesi pembentangan tersebut bagaikan satu drama yang menyaksikan sebilangan besar ahli Parlimen di kerusi pembangkang keluar dewan. Tambahan pula, ianya telah disiarkan secara langsung di kaca televisyen dan radio untuk tatapan semua rakyat Malaysia.

Satu lagi episod drama yang bakal dipertontonkan umum adalah pembentangan dan perbahasan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 (RUU 355). RUU Persendirian ini yang telah diusulkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 26 Mei lepas bakal menyaksikan tentangan hebat dari ahli Parlimen DAP serta MP yang seangkatan dengannya.

Setiap kali isu keretakkan pakatan pembangkang diajukan kepada pemimpin DAP, mereka seolah-olah melatah dan cepat menyalahkan PAS dan Hukum/Akta Hudud.

1-53
Foto oleh Wake Up Malaya

Persoalannya adalah, kenapa pemimpin PKR yang beragama Islam mahupun yang bukan beragama Islam tidak lantang menyuarakan bantahan terhadap isu RUU 355 ini?

Jawapannya, ini kerana mereka tahu RUU 355 BUKAN Akta Hudud!

Sudah jelas di bahaskan semasa usul RUU 355 pada sesi Parlimen lepas bahawa Akta 355 hanyalah sekadar pindaan untuk memperkasakan lagi Mahkamah Syariah. Ianya tidak ada kaitan dengan hukuman Hudud.

Ianya hanya tertakluk kepada kuasa Mahkamah ke atas penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah kuasa Mahkamah Syariah. Orang Bukan Islam TIDAK MUNGKIN boleh dibicarakan di bawah Mahkamah Syariah kerana Perlembagaan Persekutuan menetapkan bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya untuk umat Islam. Malah,  Seksyen 2 Akta 355 juga menjelaskan hanya orang Islam yang boleh dibicarakan dan dihukum di Mahkamah Syariah.

Agak mengejutkan bagaimana pemimpin DAP yang kononnya hebat dalam mempertahankan sistem demokrasi dan undang-undang negara TIDAK DAPAT MEMBEZAKAN antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.

solat-hajat-ruu-355a

 

Hanya kerana Abdul Hadi begitu sinonim dengan undang-undang tersebut, DAP dengan membuta tuli melabelkan RUU355 sebagai Akta Hudud atas alasan ianya bercanggah dengan perlembagaan negara. Paling tidak pun, DAP akan menyatakan bahawa usul ini membuka ruang kearah pelaksanaan hukum hudud di Malaysia.

Jelas sekali pemahaman dan penghayatan DAP terhadap sistem perundangan dan perlembagaan negara masih cetek.

Rakyat Malaysia memohon agar DAP berhenti membuat tafsiran sendiri berkaitan RUU 355 dan tidak terus mengelirukan masyarakat khususnya di kalangan bukan Islam di negara semata-mata untuk kepentingan politik parti. Ini kerana ia hanya akan terus memecah belahkan keharmonian dan keamanan yang dinikmati semua kaum berbilang agama di Malaysia.

Shazana Fauzi adalah salah seorang penganalisis politik bebas dan pembaca Malaysian Access. Artikel yang ditulis adalah pandangan peribadi beliau dan ia tidak mempunyai kaitan dengan Malaysian Access.

LEAVE A REPLY