umno
Foto oleh FMT

PENYATUAN antara UMNO dan PAS bukan perkara atau isu baharu. Pernah timbul cadangan dua parti itu bersatu untuk memperkukuhkan perpaduan Melayu.

Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri pernah menggerakkan usaha ini di atas dasar kemaslahatan Islam setelah timbulnya beberapa isu seperti murtad, kalimah Allah dan juga pelaksanaan hukum hudud.

Biarpun ada perbezaan dalam gerak kerja atau perjuangan parti, tetapi kedua-dua parti Melayu terbesar itu mempunyai satu matlamat yang sama iaitu memperjuangkan agama dan bangsa.

Untuk bersatu, UMNO dan PAS tidak semestinya perlu berada dalam satu parti atau organisasi. Ini jelas kerana parti hanya medium untuk mencapai matlamat.

Biarlah kedua-dua parti berkenaan tetap wujud seperti sedia ada tetapi harus bersatu dalam perkara berkaitan agama dan bangsa.

Apa yang penting adalah UMNO dan PAS perlu bersama dan bersatu dalam perkara-perkara berkaitan akidah dan syariat serta perkara berkaitan kepentingan bangsa.

Ketika ini ramai yang menyebut mengenai Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 bagi memperkasa dan memperluaskan kuasa Mahkamah Syariah yang dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016.

Apabila pindaan Akta 355 itu dibentangkan, terdapat segelintir pihak dalam kalangan orang Islam sendiri yang menentangnya.

siti-kassim

Tetapi UMNO dan PAS dilihat bersatu bagi merealisasikan pindaan itu dalam usaha memperkasakan peranan Mahkamah Syariah sekali gus memperkukuhkan ajaran Islam di Malaysia.

Perkara ini boleh dijadikan sebagai titik temu dan penyatuan untuk kita sama-sama melihat pimpinan PAS dan UMNO duduk semeja membincangkan isu berkaitanan Melayu dan Islam.

Banyak sebenarnya persamaan untuk umat Islam bersatu berbanding perbezaan dan antara yang paling utama ialah dalam aspek agama.

Jadi, jika RUU berkenaan sama-sama dipersetujui PAS dan UMNO, ia bukan sesuatu yang pelik jika ia dibuat atas dasar mempertahankan Melayu dan agama Islam.

Jika kedua-dua parti itu bersatu, perkara ini pasti akan memberikan kebimbangan yang serius kepada parti politik bukan Islam kerana kekuatan Melayu dan kegemilangan Islam akan dapat dikembalikan di negara ini.

Biarlah UMNO dan PAS bertelagah sebelum ini, lupakan perselisihan faham yang pernah berlaku tetapi jadikan agama menjadi titik temu yang paling besar antara kedua-dua parti yang dibentuk oleh orang Melayu yang memiliki agama dan beramal dengan suruhan yang sama.

Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz juga menyatakan apa salahnya jika PAS dan UMNO bersatu dalam isu sokongan RUU berkenaan.

Penyatuan itu bukan dalam konteks politik tetapi atas dasar kepentingan agama Islam di negara ini.

img_20160812_155849-300x300

Tiada alasan lagi untuk kedua-dua parti Islam itu tidak bekerjasama kerana apa yang membezakan keduanya hanyalah kaedah pelaksanaan agenda Islam sahaja.

Sedangkan kaum Aus dan Khazraj bermusuhan selama 200 tahun tanpa mengetahui sebab sebenar permusuhan, mereka pun akhirnya boleh bersatu selepas kedatangan Rasulullah SAW serta penyebaran Islam.

Jadi, apa masalah UMNO dan PAS? Adakah permusuhan UMNO dan PAS lebih teruk daripada Aus dan Khazraj ketika zaman jahiliyah?

Kedua-duanya hanya sedikit tersalah faham dari segi politik.

Sudah tiba masanya kedua-dua parti ini membuang yang keruh dan ambil yang jernih. Penyatuan UMNO dan PAS boleh mencipta sejarah baharu kepada politik negara.

Ketepikanlah kumpulan yang menentang perpaduan ini, mereka tidak akan berjaya.

Penyatuan UMNO dan PAS juga boleh menjadi contoh teladan kepada umat Islam serata dunia ketika kebanyakan negara Islam kini asyik berbalah sesama sendiri.

Khairul Amir adalah salah seorang penganalisis politik bebas dan pembaca Malaysian Access. Artikel yang ditulis adalah pandangan peribadi beliau dan ia tidak mempunyai kaitan dengan Malaysian Access.

LEAVE A REPLY