RUU
Foto oleh FMT

SEBAGAI umat Islam tiada sebab untuk kita membantah pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian iaitu cadangan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355.

Tanpa mengira fahaman politik serta siapa pembentangnya, sewajarnya kita sebagai umat Islam bersatu demi memastikan sistem kehakiman Islam di Malaysia dapat dipertingkatkan.

Persoalannya yang begitu besar di sini, adakah RUU 355 ini akan mendapat sokongan sepenuhnya 135 orang Ahli Parlimen Islam di negara ini?

Ahli Parlimen dari UMNO dilihat tiada masalah untuk memberikan sokongan. Tetapi bagaimana dengan Ahli Parlimen Islam dari PKR dan PAN? Begitu juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)?

images

Lupakan politik, dalam soal RUU 355 ini umat Islam perlu bersatu bagi memartabatkan sistem kehakiman syariah, sekali gus memastikan undang-undang Islam dipandang tinggi.

Jika dilihat kembali, kali terakhir akta ini dipinda adalah pada tahun 1984 iaitu pertambahan daripada penjara enam bulan dan denda RM1,000 kepada maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000 serta enam kali sebatan syarie.

Jadi, berapa usia akta sedia ada ini sekarang? Sudah 32 tahun.

Di negara ini, pelbagai perkara serta pembangunan dapat dilakukan dalam tempoh 32 tahun itu, tetapi RUU 355 masih tidak berubah sehingga kini.

Adakah menjadi kesalahan untuk akta sedia ada dipinda menjadi lebih baik?

Cuba bayangkan selama 32 tahun akta ini tidak pernah dibuat sebarang pindaan tetapi pada masa sama masalah serta isu berkaitan dengan umat Islam semakin kompleks dan rumit.

Sedarilah, mahu tidak mahu pindaan perlu dilakukan agar pelaksanaan akta ini bersesuaian dengan perkembangan semasa.

Adakah hukuman sedia ada kini menggerunkan pesalah?

Yang pastinya hukuman penjara tiga tahun, denda RM5,000 serta enam kali sebatan syarie sudah lapuk dan tidak langsung menggerunkan pesalah.

Menerusi hukuman yang lebih berat kepada pesalah, akta berkenaan berupaya memberi pengajaran kepada seluruh masyarakat dan menghalang mana-mana individu merancang melakukan jenayah.

Bukankah ini satu nikmat besar kepada masyarakat? Seluruh lapisan masyarakat akan mendapat faedah daripada pindaan akta tersebut.

Kepada umat bukan Islam, janganlah bimbang kerana pindaan akta berkenaan langsung tidak melibatkan mereka.

Jadi tidak perlulah orang bukan Islam cuba campur tangan kerana jelas segala isu berkaitan dengan mahkamah syariah tiada kena mengena dengan mereka.

Perkara ini telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan menetapkan bahawa bidang kuasa mahkamah syariah hanya untuk umat Islam.

dafa82826983ee7076d92cc87a4e1f1f

Seksyen 2 Akta 355 juga ada menjelaskan hanya orang Islam yang boleh dibicarakan dan dihukum di mahkamah syariah.

Kepada orang Islam, sedarlah usaha untuk meminda RUU 355 berkenaan sejajar dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Kalau bukan kita umat Islam yang menyokong penuh pindaan RUU berkenaan siapa lagi? Fikirkahlah.

Khairul Amir adalah salah seorang penganalisis politik bebas dan pembaca Malaysian Access. Artikel yang ditulis adalah pandangan peribadi beliau dan ia tidak mempunyai kaitan dengan Malaysian Access.

LEAVE A REPLY