Runding­an perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara Malaysia dan Kesa­tuan Eropah (EU) turut meliputi resolusi baru-baru ini oleh Parlimen EU untuk menghentikan penggunaan beberapa je­nis minyak sayuran, termasuk minyak sawit menjelang 2020.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong berkata, walaupun resolusi itu tidak mengikat negara anggota EU, kerajaan memandang serius perkembangan tersebut kerana melibatkan eksport komoditi utama serta kebajikan 500,000 pekebun kecil.

“Susulan pemulihan rundingan FTA, kami akan mengemukakannya untuk perbincangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Perdagangan dan Pelaburan EU-Malaysia 2017 di sini hari ini.

Beliau berkata, resolusi itu bagai­manapun tidak menyekat eksport minyak sawit ke EU.

“Ia lebih kepada kebimbangan sama ada tarif tambahan akan diperkenalkan,” katanya.

Tee Yong berkata, kerajaan akan mengkaji kaedah untuk menyelesaikan isu itu bagi memastikan resolusi (EU) tidak menjejaskan dagangan ke­dua-dua pihak.

Duta Besar dan Ketua Delegasi EU ke Malaysia, Maria Castillo Fernandez berkata, beliau tidak menjangkakan resolusi itu boleh menjejaskan hubungan dua hala EU dan Malaysia.

“Tiada perubahan dalam perdagangan dan pelaburan EU di Malaysia. Kami akan terus menjadi rakan dagang ketiga terbesar dengan Malaysia,” katanya.

Jumlah dagangan Malaysia-EU pada 2016 meningkat 0.4 peratus kepada RM149.1 bilion tahun ke tahun, manakala pada Januari 2017, angka itu meningkat 9.7 peratus kepada RM12.9 bilion berbanding bulan yang sama tahun lepas.

Sementara itu, forum sehari anjuran Dewan Perniagaan dan Industri EU-Malaysia (EUMCCI) bertemakan ‘Inovasi dan Produktiviti Bagi Memacu Ekonomi Malaysia’ itu bermatlamat meningkatkan produktiviti penge­luaran dan perkhidmatan sektor perkhidmatan, selain daya saing dengan menggalakkan penggiat industri menerima pakai dan melaksanakan inovasi.

Sempena forum itu, Tee Yong turut melancarkan penerbitan EUMCCI Trade Issues and Recommendations 2017.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here