Ruhainies
Cover image via @ruhainies7

Pelakon sensasi, Ruhainies tidak bersikap hipokrit apabila tampil sopan di majlis sambutan hari jadinya baru-baru ini, sebaliknya berpenampilan seksi ketika keluar bersama teman-temannya.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan pelakon Hello, Mr. Perfect itu ketika mengulas komen-komen nakal orang ramai yang mengatakan pelakon itu bersikap hipokrit dengan berpenampilan sopan ketika menyambut hari jadinya yang ke-24 baru-baru ini kerana dihadiri oleh kaum keluarganya.

“Saya diberitahu untuk menghadiri satu majlis pelancaran produk. Jadi, saya pakai mengikut kesesuaian majlis tersebut. Tak sangka pula, ia bukan majlis pelancaran produk sebaliknya merupakan kejutan sambutan hari jadi saya yang ke-24,” ujarnya yang kecewa disalah erti.

Menurut pemilik nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas itu, dia akan memakai pakaian yang sesuai dengan majlis yang dihadirinya. Sebelum ini, dia juga pernah tampil sopan menghadiri majlis bersama anak-anak yatim.

“Macam sebelum ini, saya diminta menghadiri majlis bersama anak yatim jadi saya kena berpakaian sopan. Kalau keluar bersama dengan kawan-kawan, mereka tahu saya macam mana. Saya tidak hipokrit,” jelasnya

Sering terpalit dengan kontroversi silih berganti, pelakon yang memiliki wajah seperti Nora Danish itu tenang menerimanya dengan hati yang terbuka.

Sebelum ini, nama Ruhainies hangat didebatkan selepas video dan gambarnya keluar bersama suami kepada penyanyi, Adira, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red, tersebar di sebuah portal hiburan.

Tidak mahu terpalit lagi dengan kontroversi sedemikian, Ruhainies kini mengambil langkah untuk lebih berhati-hati tatkala membuat keputusan.

“Sudah tentu saya akan lebih berhati-hati selepas ini tetapi kadang-kadang benda macam ini bukan kita rancang. Apa yang saya boleh katakan, tidak ada artis yang mahukan kontroversi buruk macam ini. Kecuali kontroversi yang positif dan menaikkan nama seperti menang anugerah atau apa-apa sumbangan yang dilakukan,” ujarnya penuh semangat.

Bagaimanapun, Ruhainies kini lega kerana tidak lagi menerima komen-komen pedas daripada orang ramai selepas keadaan menjadi reda.

“Biasalah, kalau berlakunya sesuatu kontroversi itu kita akan dapat perhatian lebih daripada biasa. Jadi, ada komen negatif dan positif. Benda itu normal terjadi pada artis. Alhamdulillah, keadaan sudah reda,” jelasnya yang kini ditemani ibunya, Che Bunga Salleh setiap kali menghadiri urusan berkaitan kerjaya seni.

Disoal sama ada dia akan terus bekerjasama dengan Datuk Red selepas ini, Ruhainies mengambil pendekatan untuk menolaknya. Bagi Ruhainies, dia tidak mahu pisang berbuah dua kali.

“Kalau boleh, saya mahu mengelak untuk bertemu dengan Datuk Red selepas ini setelah apa yang terjadi. Buat apa kita nak terlibat lagi kontroversi seperti ini.

Artikel berkaitan: Ruhainies Tidak Rela Bermadu

“Tetapi kalau ia benda positif dan secara profesional, saya terima. Kalau kerjasama itu mendatangkan masalah, seboleh-bolehnya saya akan cuba elak untuk bekerjasama dengan Datuk Red lagi di mana-mana projek selepas ini,” ujarnya.

Berkongsi perkembangan mengenai dirinya, kata Ruhainies, dia akan terlibat dengan program Jom Heboh di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada hari ini.

Selepas itu, pelakon berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang itu akan memasuki set penggambaran telemovie bersama Fauzi Nawawi yang berjudul Ayah Tak Pernah Kalah.

“Pada 12 hingga 14 Ogos pula, saya akan terlibat dalam program Drama Bas untuk promosi drama Menantu Ting Tong bersama Azrel Ismail di Pahang.

“Insya-Allah, saya juga akan terlibat dalam klip video lagu baharu Kumpulan HyperAct iaitu Bukan Untukku,” jelasnya yang turut bakal terlibat dalam drama Jejak Kamila bersama aktres Nasha Aziz pada bulan Oktober nanti.

Walaupun kontroversi melanda, Ruhainies tetap menerima tawaran seperti biasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here