rohingya
Foto oleh FMT

PETALING JAYA: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mengecam pemimpin demokrasi Myanmar Aung San Suu Kyi kerana terus berdiam diri terhadap kekejaman ke atas penduduk Rohingya di negara itu walaupun selepas kejadian terbaru menyebabkan ratusan terbunuh di wilayah Rakhine.

“Kegagalan Suu Kyi untuk bersuara bagi pihak etnik Rohingnya yang teraniaya adalah keaiban dan penghinaan kepada hadiah Nobel yang telah dianugerahkan kepada beliau.

“Apatah lagi setelah partinya yang mengusung nama ‘demokrat’ berjaya meraih kemenangan yang begitu besar tahun lalu, bagi menafikan kekuasaan pentadbiran tentera selama lebih dua dekad lampau,” kata Lim dalam satu kenyataan.

Laporan menyebut hampir 100 orang terbunuh manakala lebih 300,000 penduduk Rohingya melarikan diri dalam keganasan terbaru. Ia merupakan yang terburuk sejak 2012 ketika ratusan penduduk Rohingya dibunuh.

Pertubuhan Human Rights Watch melaporkan gambar satelit menunjukkan perkampungan Rohingya turut dibakar.

aung-san-suu-kyi

Lim berkata kerajaan pimpinan Suu Kyi perlu membuka jalan bantuan kemanusiaan untuk mereka yang masih terperangkap di wilayah bergolak itu “kalau pun tidak mempunyai kemampuan dan keazaman politik” untuk menghentikan pembersihan etnik.

Katanya, Suu Kyi yang pernah dinobatkan Hadiah Keamanan Nobel dan dipuji sebagai wira demokrasi khususnya di Barat tidak boleh terus berdiam diri berhadapan penindasan zaman berzaman ke atas rakyat negaranya.

“Suu Kyi tidak boleh terus memilih untuk tidak peduli, apatah lagi enggan menyebut perkataan ‘Rohingnya’ dan memilih untuk merujuk etnik tersebut sebagai ‘Bengali’.

“Sikap yang sedemikian langsung tidak mencerminkan seorang pemimpin yang diharapkan untuk membawa keamanan kepada negaranya, apatah lagi sebagai seorang pemenang hadiah Nobel,” kata Lim.

“Sebagai juara hak asasi manusia, Aung San Suu Kyi mesti membuktikan bahawa beliau adalah juara untuk semua lapisan manusia, tanpa mengira kaum, agama, wilayah dan latar belakang, dan bukan sekadar menayangkan ilusi juara hak asasi untuk kaum yang beliau suka sahaja, atau kelompok yang memberi kelebihan atau kemudahan politik untuk dirinya sahaja.”

Lim berkata pergolakan di Myanmar itu harus menjadi pengajaran kepada Malaysia betapa pertelingkahan agama dan kaum boleh membawa akibat buruk kepada masyarakat berbilang agama, budaya dan keturunan.

“Untuk ke sekian kalinya saya menyeru rakyat Malaysia semuanya untuk menolak politik perkauman sempit, yang bermodalkan ekstremisme agama dan ketuanan keturunan, supaya negara tidak terjerumus ke kancah keganasan,” tambahnya.

LEAVE A REPLY