riza AZIZ
Foto oleh FMT

KUALA LUMPUR: Anak tiri perdana menteri Riza Aziz tidak akan berdepan siasatan di Malaysia kerana Putrajaya menganggap beliau tidak terbabit dengan kes rasuah dalam negara, Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata Riza juga tidak terlibat dalam siasatan melibatkan syarikat milik negara 1MDB.

“Oleh itu tidak perlu memanggilnya untuk soal siasat,” kata Razali menjawab Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) di Dewan Rakyat semalam yang bertanya sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat Riza susulan tindakan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).

Julai lalu, Jabatan Kehakiman AS (DoJ) memfailkan saman merampas aset bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion) yang berkaitan dengan 1MDB. Ia sebahagian daripada dana AS$3.5 bilion yang didakwa disalah guna dan aset lain termasuk rumah mewah, hasil seni, jet peribadi dan kutipan filem Hollywood “The Wolf of Wall Street” terbitan syarikat Riza, Red Granite Pictures.

najibchina

Turut dinamakan dalam permohonan (DoJ) ialah ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low.

Razali berkata SPRM sudah pun menyoal Jho Low dan perkara itu dianggap “selesai”.

“Riza tidak terlibat dalam lingkungan penyiasatan. Dia tidak terlibat dalam kes rasuah.”

Razali juga berkata beliau diberitahu 1MDB, syarikat itu tidak kehilangan wang.

“Pihak yang mendakwa dana Malaysia hilang ialah DoJ. Biar mereka buktikan. Bagaimana YB boleh berkata Riza bersalah?”

Nama Riza baru-baru ini kembali disebut selepas beliau dilihat bersama-sama rombongan Datuk Seri Najib Razak untuk lawatan rasmi 6 hari ke China.

Pelbagai pihak mempersoalkan kehadiran Riza dalam rombongan yang menaiki pesawat rasmi kerajaan itu.

Pembantu Najib, Datuk Seri Rizal Mansor bagaimanapun berkata seluruh ahli keluarga Najib dijemput ke China.

LEAVE A REPLY