ringgit dibuka lemah
Cover image via thestar.com.my

Ringgit susut berikutan kebimbangan mengenai pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS), selepas dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini.

Pada tengah hari, ringgit disebut pada 4.2300/2350 berbanding dolar AS daripada 4.1760/1850 pada pembukaan hari ini dan 4.2000/2050 semasa ditutup pada Selasa.

Naib Presiden Penyelidikan Pasaran FXTM, Jameel Ahmad berkata pelabur terkejut kerana tidak menyangka bahawa Donald Trump akan menjadi Presiden AS.

“Kemungkinan Donald Trump akan memenangi pilihan raya ini semakin tinggi, walaupun Hillary Clinton kini mengejar dengan undian 197 berbanding 187 pada 12.46 tengah hari.

“Dagangan pasaran di Asia merudum pada awal pagi ini dengan pelabur beralih kepada untuk mengelak risiko sepenuhnya susulan kejutan Trump mendahului,” katanya.

Jameel berkata ‘elak risiko’ pada dasarnya bermakna minat pelabur terhadap aset berisiko berkurangan, yang juga bermakna negatif kepada mata wang pasaran pesat membangun.

Ia terbukti sebelum ini apabila terdapat ketidaktentuan dalam pasaran, yen Jepun membuktikannya sebagai yang terbaik kepada pelabur dan ini yang berlaku sekali lagi, katanya.

“Bank of Japan akan kecewa jika Trump memenangi pilihan raya ini kerana akan menyebabkan penurunan nilai yen Jepun berbanding dolar AS,” katanya.

Jameel berkata tarikan kepada aset selamat emas akan meningkat dengan sentimen pelabur yang tidak menentu.

Pada rehat tengah hari, November 2016 melonjak 108 mata kepada RM179 segram, Disember 2016 meningkat 110 mata kepada RM179.50 segram, Januari 2017 naik 92 mata kepada RM179.00 segram dan Februari 2017 menambah 76 mata kepada RM179.00 segram.

Sementara itu, pada tengah hari, harga emas global pada AS$42.24 segram.

Ringgit turut diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0386/0433 daripada 3.0082/0158 pada pembukaan hari ini, rendah berbanding yen kepada 4.1761/4.1827 daripada 3.9583/9702.

Unit tempatan turut susut berbanding pound British kepada 5.3048/5.3132 daripada 5.1620/1743 dan merosot berbanding euro kepada 4.7778/4.7847 daripada 4.5915/6018.

LEAVE A REPLY