Sumber foto: asiabusinessinfo.com

Penurunan ringgit adalah susulan dagangan spekulatif dan kebimbangan pelabur terhadap ekonomi negara dan dunia.

Menurut Gabenor Bank Negara Datuk Muhammad Ibrahim, penyusutan nilai ringgit baru-baru ini tidak mencerminkan asas kukuh matawang tempatan dan ekonomi negara.

“Ianya sangat penting untuk nilai ringgit ditentukan oleh pasaran, bukan dagangan spekulatif dan sentimen.

“Kini, Bank Negara mempunyai tugas untuk berhubung dengan bank tempatan untuk tidak meletakkan nilai ringgit yang tidak selaras dengan asas ekonomi Malaysia,” katanya ketika mengumumkan prestasi ekonomi negara bagi suku ketiga 2016 di sini hari ini.

Bagi tempoh tersebut, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tumbuh 4.3 peratus.

Ini menjangkaui jangkaan pakar bahawa ekonomi negara akan bertumbuh lembap, sekitar paras 4.0 peratus yang direkodkan pada suku dua 2016.

Muhammad berkata, permintaan domesik terus memacu pertumbuhan ekonomi negara bagi tempoh tersebut.

Katanya, ini dimangkin oleh peningkatan perbelanjaan sektor swasta, peningkatan projek pembangunan infrastruktur, serta peningkatan perbelanjaan rakyat hasil peningkatan gaji minimum dan gaji penjawat awam.

Peningkatan pertumbuhan industri perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan masing-masing sebanyak 6.1 peratus, 4.2 peratus dan 7.9 peratus turut menyumbang kepada pertumbuhan KDNK.

Paras pengangguran meningkat kepada 3.5 peratus berbanding 3.4 peratus suku sebelumnya, sementara inflasi turun kepada 1.3 peratus berbanding 1.6 peratus pada suku kedua 2016.

Juga bagi suku ketiga 2016, paras hutang isi rumah kepada KDNK direkodkan pada 88.7 peratus manakala hutang kerajaan kepada KDNK berada pada paras 52.2 peratus.

Beliau turut menambah, ringgit tidak akan ditambat walaupun turun naik sejak kebelakangan ini disebabkan persekitaran luar.

“Ringgit akan terus menghadapi turun naik, sebahagian besarnya berpunca daripada ketidaktentuan dalam persekitaran luar.

Nilai ringgit tidak patut ditentukan oleh kedudukan spekulasi,” katanya.

Ringgit susut berbanding kebanyakan mata wang utama dan serantau pada suku ketiga,” katanya.

LEAVE A REPLY