Image via ismaweb.net

Ringgit dijangka kekal tidak menentu dalam tempoh terdekat ini berikutan kelemahan dalam pegangan asing instrumen pendapatan tetap di negara ini dan suasana ekonomi global yang semakin mencabar.

RHB Research dalam satu nota penyelidikan berkata, faktor-faktor lain termasuk kemungkinan kenaikan kadar oleh Rizab Persekutuan AS dan penurunan lagi nilai yuan China.

“Mata wang tempatan dijangka diniagakan pada jajaran RM3.90-RM4.20 berbanding dolar AS sebelum ditutup pada RM4.05 berbanding dolar AS pada hujung tahun apabila aliran modal bertambah baik,” kata firma penyelidikan itu.

RHB Research berkata rizab pertukaran asing Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat sedikit sebanyak AS$0.1 bilion kepada AS$97.8 bilion pada 31 Oktober 2016 berbanding AS$97.7 bilion yang dicatatkan pada akhir September 2016.

Jumlah deposit mata wang asing menyusut sebanyak 4.5 peratus pada September kepada kira-kira RM116.5 bilion susulan kenaikan 3.6 peratus pada Ogos.

Sementara itu, deposit oleh institusi kewangan meningkat perlahan pada September, diimbangi sebahagiannya peningkatan deposit agensi berkanun.

“Jumlah lebihan mudah tunai diserap oleh BNM susut kepada kira-kira RM139.7 bilion pada akhir Oktober 2016, daripada RM143.8 bilion pada akhir September 2016,” kata firma itu.

LEAVE A REPLY