Friday, June 23, 2017
Home News Biz Rekod Perniagaan Berdaftar Bukti Ekonomi Kukuh

Rekod Perniagaan Berdaftar Bukti Ekonomi Kukuh

56
0

Sebanyak 6,366,064 perniagaan berdaftar direkodkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan 1,213,714 melibatkan pemerbadanan syarikat di negara ini.

Timbalan Menteri Perdaga­ngan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong berkata, angka besar ber­kenaan membuktikan negara ini masih mampu mengekalkan bilangan pendaftaran perniagaan serta syarikat berdaftar yang ba­nyak biarpun keadaan ekonomi dunia berada dalam situasi kurang memberangsangkan.

“Inilah komitmen berterusan kerajaan Malaysia dalam menyediakan pelbagai kemudahan kepada para usahawan di negara ini untuk mengembangkan potensi perniagaan mereka sekali gus menjana ekonomi domestik termasuk peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

“Sehubungan itu, penekanan serius harus diberikan kepada penerapan budaya keusahawanan serta melahirkan golongan usahawan berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian di majlis pe­cah tanah pembinaan bangunan kedua milik SSM di Basco Avenue, Sungai Senam di sini selepas Menara SSM KL Sentral, hari ini.

Dianggarkan bernilai RM70 juta, bangunan setinggi 10 tingkat yang akan menjadi mercu tanda di Perak itu akan didirikan di kawasan seluas tujuh hektar dan dijangka siap pada Mac 2020.

Majlis pecah tanah itu dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Jamil Salleh merangkap Pengerusi SSM serta Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd. Wahab Fenner.

Dalam pada itu, Henry yakin de­ngan terbinanya bangunan baharu SSM berkenaan akan memberikan banyak manfaat kepada usahawan di negeri ini sekali gus memboleh­kan lebih ramai bakal usahawan mendaftarkan perniagaan.

Menurut beliau, pendaftaran perniagaan perlu dilakukan bagi melindungi hak pengguna sebagai pembeli, justeru tindakan boleh dikenakan ke atas peniaga berdaftar sekiranya wujud penipuan.

“Pendaftaran perniagaan juga bermanfaat bagi mendapatkan modal pinjaman atau geran di bank bagi mengembangkan perniagaan selain memberi lebih keyakinan kepada pembeli untuk membeli produk serta perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.

Sementara itu, Zambry berharap, SSM dapat memainkan pe­ranan penting untuk membantu pengusaha perusahaan industri kecil dan sederhana (PKS) bagi mendaftarkan perniagaan di negeri ini.

“Di Perak, terdapat 39,979 usahawan dan bakal usahawan yang direkodkan sepanjang tahun lalu, jadi kita harap SSM akan memberikan keselesaan dalam berurusan dengan mereka,” katanya.

SOURCEUtusan
SHARE
Previous articleMunafik 2: Maya Karin Tak Jadi Hantu
Next articleMalaysia Hab Haval di ASEAN
'Graduated in Journalism with deep interest in social causes. Part-time writer & full-time coffee lover. I love triathlon, hiking, most people & beautiful things.'

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here