Raja Muda

KANGAR, 11 Nov — Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengalu-alukan penglibatan pelabur sama ada dari dalam mahupun luar negara untuk melabur di negeri ini.

Baginda bertitah, Perlis merupakan destinasi terbaik untuk mengembangkan pelaburan kerana kerajaan negeri sedang rancak mengusahakan kawasan pembangunan bercampur meliputi pelbagai sektor.

Antara yang dilihat berpotensi besar berkembang maju ialah kawasan Lembah Chuping seluas 1,004 hektar sebagai kawasan perindustrian terancang dan berteknologi tinggi.

“Pembangunan pesat di Perlis meliputi kawasan perindustrian, pusat komersil dan kediaman bakal menyediakan banyak peluang pekerjaan seperti sektor pembinaan, industri kecil dan sederhana serta perkhidmatan di samping menambah populasi penduduk Perlis,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa Majlis Penyerahan Tugas antara Pengarah Urusan Shorubber (M) Sdn Bhd, Kazuaki Morita dan Pengarah Urusan baharu, Keizo Sato di Hotel Seri Malaysia di sini, hari ini.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Raja Muda bertitah, insentif yang diberikan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) seperti Insentif Kawasan Kurang Membangun, iaitu 100 peratus pengecualian cukai pendapatan sehingga 15 tahun, pengecualian duti setem dan lain-lain diyakini dapat menarik pelabur ke Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, faktor tenaga buruh tidak menjadi isu bagi pelabur memandangkan kos sara hidup dan gaji yang sederhana, maka seharusnya Perlis menjadi pilihan utama.

“Perlis mempunyai kira-kira 11 institusi pengajian tinggi Awam dan swasta yang menghasilkan lebih 5,000 graduan meliputi bidang kejuruteraan, teknikal, kemahiran dan pengurusan setiap tahun,” titah baginda.

Kazuaki Morita telah berkhidmat sejak 1 Mac lepas manakala Keizo Sato memulakan perkhidmatannya secara rasmi mulai 1 Oktober lalu.

Raja Muda turut melahirkan penghargaan kepada Shorubber (Malaysia) Sdn Bhd kerana sejak beroperasi pada 1993, syarikat berkenaan giat menyumbang kepada pembangunan ekonomi Perlis.

LEAVE A REPLY