RAJA AFIQ
Cover image via Berita Harian

Pelakon baharu, Raja Afiq, 22, enggan lagi terjebak dengan cinta, sebaliknya berusaha mengukuhkan namanya terlebih dulu di arena seni.

Bintang drama Sayangku Kapten Mukhriz itu juga berkata, beliau banyak belajar daripada pengalaman lalu, apabila cintanya bersama pelakon yang juga penyanyi, Anis Al Idrus, 28, kecundang selepas beberapa bulan berkasih.

Gara-garap kisah cinta yang terputus di pertengahan jalan itu juga, reputasi Raja Afiq bagai tercalar apabila belum setahun bergelar pelakon, dirinya sudah dihimpit kontroversi. Kini, pemuda itu berazam untuk tidak lagi terburu-buru dalam soal hati.

“Kalau boleh, saya tidak lagi mahu mengenang semua perkara itu. Saya sendiri tidak boleh bercakap panjang mengenainya kerana segala-galanya sudah pun berlaku.

“Begitupun, saya akui banyak belajar daripada kesilapan diri dan saya enggan lagi mengulangi perkara sebegitu.

Ramai yang menasihatkan saya untuk lebih fokus kepada dunia lakonan yang baharu bermula daripada mencetuskan kontroversi sedemikian rupa.

“Pada masa sama, saya melihat apa yang terjadi sebagai ruang untuk memperbaiki diri. Ia pengajaran terbesar untuk saya yang masih bertatih di arena seni,” katanya

Dalam perkembangan lain, jejaka ini akan muncul dalam drama rantaian, Lara Cinta Ameena, bermula 29 November ini menerusi slot Samarinda di TV3.

Menerusi naskhah arahan Suhaimi Lua itu, beliau bergandingan dengan Tiz Zaqyah. Turut berlakon dalam drama 15 episod terbitan Tanah Beris Film Production itu ialah Fazlina Ahmad Daud, Zarina Zainoordin, Lia Natalia, Danish Hazriq dan Fazrien Rafi.

“Pada awalnya memang saya sangat gementar untuk bergandingan dengan Tiz. Maklum saja, beliau antara pelakon yang sudah terbukti kehebatannya.

“Namun begitu, berlakon di sisi mereka yang berpengalaman sepertinya memudahkan bakat baharu seperti saya.

“Tiz pandai mencipta keserasian dan mengurangkan jurang antara kami. Beliau juga tidak lokek berkongsi nasihat dan pengalaman.

Saya banyak belajar daripadanya,” katanya. Drama berkenaan menjalani penggambaran sekitar Kuala Lumpur dan Kundasang, Sabah.

Baca lagi: Pengakhiran Hubungan Raja Afiq, Anis Al Idrus

LEAVE A REPLY