rafidah aziz
Tan Sri Rafidah Aziz - Foto oleh FMT

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri  Tan Sri Rafidah Aziz telah menyatakan sokongan untuk menubuhkan Majlis Perundingan Negara 2 (National Consultive Counsel 2 – NCC2).

NCC2, merupakan inisiatif untuk menyusun semula dengan mengumpul pendapat daripada pemimpin masyarakat, yang baru-baru ini diilhamkan oleh ahli perbankan terkemuka Datuk Seri Nazir Razak.

Idea ini telah mendapat perhatian dan sokongan daripada personaliti terkenal termasuk pengasas AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dan Pengerusi Eksekutif Enra Group Bhd Datuk Kamaluddin Abdullah.

Dalam tulisan di laman Facebooknya, Rafidah berkata beberapa langkah, sistem dan strategi perlu dilaksanakan untuk memulihkan semangat “kenegaraan” sebenar.

Beliau berkata ini adalah untuk memastikan generasi muda boleh menghargai dan menerima konsep perpaduan dalam kepelbagaian.

Beliau juga berkata terdapat keperluan untuk menggantikan semangat “patriotik” dengan sesuatu yang lebih mengutamakan kepentingan negara melebihi kepentingan peribadi atau kelompok.

“Kita jatuh dan bangun bersama-sama. Oleh itu saya menyokong penubuhan NCC2 yang bebas politik dan inklusif, seperti yang dicadangkan oleh Nazir Razak. ”

Beliau berkata perkembangan semasa terhadap keprihatinan, kestabilan sosial negara dan daya tahan ekonomi adalah ditahap amat membimbangkan.

Rafidah berkata sudah tiba masanya untuk menjalankan penilaian yang komprehensif, serius dan jujur ke atas Malaysia yang terkenal sebagai negara yang berbilang kaum, etnik dan kepercayaan.

“Kita mesti mempunyai kesungguhan dalam menangani pelbagai isu yang melanda negara kita. Masa adalah amat penting.”

“Sebagai rakyat Malaysia yang bersatu padu dan patriotik, kita perlu menubuhkan NCC2 dan memulakan kerja secepat mungkin,” katanya.

NCC pada asalnya telah ditubuhkan pada tahun 1970 selepas rusuhan 13 Mei 1969, demi “mewujudkan garis panduan yang positif dan praktikal untuk kerjasama antara kaum serta integrasi sosial untuk pertumbuhan identiti kebangsaan Malaysia”.

Ia telah dicipta oleh Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Nazir, yang merupakan anak Abdul Razak dan adik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, telah berkali-kali mencadangkan untuk penubuhan NCC2, terbaru pada majlis pelancaran buku Kesederhanaan The Star di Menara Star, Khamis lepas.

LEAVE A REPLY