Qatar

Hari ini (5 Jun 2017) Ruang diplomasi dunia digegarkan dengan tindakan Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar.

Tindakan ini boleh disifatkan sebagai sebahagian daripada kemuncak hubungan tegang Qatar dengan negara-negara lain di Timur Tengah.

Menggunakan alasan mencegah keganasan, Kerajaan Arab Saudi melihat ini merupakan satu langkah paling sesuai bagi membendung Qatar yang didakwa mempromosi pengganas. Arab Saudi bertindak lebih keras dengan menutup semua laluan perhubungan dengan Qatar melalui jalan laut, darat dan udara.

Menurut ramai penganalisis hubungan antarabangsa, tindakan sebegini boleh disifatkan sebagai satu bentuk tekanan ekonomi memandangkan Qatar memiliki kebergantungan yang tinggi terhadap Arab Saudi dari sudut laluan pembekalan makanan untuk negaranya.

Tindakan penutupan sempadan oleh Arab Saudi ini boleh dianggap bakal memberikan kesan serius dan jika keadaan terus berlarutan hal-hal berkaitan ekonomi dan kemanusiaan turut mampu terkesan. Arab Saudi menerusi kenyataan rasmi juga menggesa negara-negara lain dan firma swasta turut mengambil tindakan sama. Gesaan ini harus dilihat sebagai usaha membentuk persetujuan kolektif dari Arab Saudi bagi melihatkan Qatar sebagai negara yang bahaya.

Pemerintah Qatar, Sheikh Tamim Hamad al-Thani sebelum ini dikecam oleh kebanyakan pemimpin di Timur Tengah khususnya Israel dan sekutu apabila terdapat kenyataan yang didakwa dikeluarkan oleh Sheikh Tamim mengkritik segelintir pemimpin Arab dan menggesa hubungan dengan Iran dipulihkan. Namun begitu, pihak berkuasa Qatar menafikan dakwaan berkenaan dan menyatakan hal ini dilakukan oleh penggodam.

Qatar didakwa mesra kepada Iran, sebuah negara berfahaman Syiah yang jelas tidak digemari oleh majoriti pemimpin Timur Tengah. Dakwaan berkenaan dilanjutkan kepada Qatar sebagai sebuah negara yang menggalakkan keganasan dan memberi dana kepada organisasi pengganas.

Arab Saudi bersama-sama Bahrain, UAE dan Mesir memberi masa selama 48 jam kepada diplomat Qatar untuk segera keluar dari negara masing-masing.

Negara-negara Islam terus bercakaran sesama sendiri walaupun pada hakikatnya memiliki keupayaan untuk menguasai politik dunia. Perbezaan mazhab jelas menjadi pemisah terpenting kepada negara-negara rantau berkenaan.

Paling menghairankan tindakan Arab Saudi ini diambil selepas beberapa minggu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump melawat negara berkenaan dan mengumumkan perjanjian pelaburan industri persenjataan bernilai berbilion dolar.

Kemelut ini sudah pasti disukai oleh negara seperti Amerika Syarikat yang berharap rantau berkenaan terus bergolak untuk memudahkan penguasaan ekonomi diketatkan.

Di bulan yang mulia, bulan Ramadan daripada bersikap terbuka dan menerima perbezaan, negara-negara Islam nampaknya lebih selesa untuk bercakaran dan menyalahkan di antara satu sama lain.

Jelas dalam hal ini yang bakal rugi besar ialah negara-negara Islam sendiri kerana yang terlibat dalam pertikaian ini ialah negara-negara yang memiliki kekuatan ekonomi dan menguasai pasaran minyak dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here