Puteri aishah
Cover image via mStar

Pelakon yang meledak dengan panggilan Cikgu Aishah itu lebih senang bungkam daripada dilihat ‘tidak cerdik’ demi mempertahankan diri daripada nama dan wajahnya terus-terusan dijaja dalam laman Facebook sekitar tahun lalu. Pada peringkat awal, tiada aibnya dengan penyebaran gambar pemilik nama sebenar Puteri Aishah Sulaiman yang manis mengenakan tudung berwarna merah jambu itu, bahkan ramai yang menaruh rasa suka dan tertanya-tanya siapakah gerangan sebenar wanita cantik di sebalik nama Cikgu Aishah itu.

Namun, bila ada yang mengaitkannya dengan isu mengorat bapa pelajar-pelajar sehingga beroleh surat cinta, namanya mula tercalit sedikit ‘noda’.

Bahkan ‘noda’ yang sedikit itu menjadi kasat mata dan merebak menjadi zarah-zarah pepejal bila gambar Aishah tidak bertudung dan mengenakan pakaian seksi tersebar di laman sosial.

Aishah memilih untuk terus bungkam walaupun diasak pelbagai pihak untuk bersuara dan menjelaskan kebatilan yang muncul.

Terkilan

Hakikatnya, dia tidak mahu menghangatkan lagi isu tersebut daripada terus menjadi buah mulut ramai, sekali gus mencalarkan nama baik kolej universitinya dan sekolah tempat dia menjalani praktikal.

“Bagi yang masih keliru mengenai isu itu, di sini saya ingin jelaskan. Saya memilih untuk diam ketika itu kerana terikat sebagai guru sementara di sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur dan pada masa yang sama menyertai pertandingan Dewi Remaja 2014/2015.

“Ramai yang mengatakan saya buka tudung untuk menyertai pertandingan tersebut, hakikat sebenarnya saya memang tidak bertudung. Saya bertudung ketika itu kerana mengikut piawaian sekolah sahaja. Malah, ketika itu, saya masih mengikuti jurusan Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua di sebuah kolej universiti dan dihantar untuk menjalani praktikal selama lima bulan di sekolah berkenaan,” jelas Aishah yang turut menolak mengenai kewujudan surat cinta itu.

Peluang daripada Erma Fatima

Berfikir sejenak sebelum melontarkan hujahnya, Aishah memberitahu, dia juga terkilan dengan komen negatif segelintir pihak yang menuduh dia mencalarkan imej profesion mulia itu.

“Saya minta maaf jika ada yang mengatakan imej saya sekarang ini mencalarkan reputasi cikgu. Hakikatnya, saya tidak mahu bersikap hipokrit dengan menjadi orang lain. Saya hanya menjalankan tugasan praktikal sebagai guru pelatih selepas dihantar oleh pihak kolej,” ujar Aishah.

Tuah popular dengan nama Cikgu Aishah waima tidak memenangi pertandingan Dewi Remaja 2014/2015, anak kelahiran Johor itu mula diintai pengarah dan penerbit drama.

Bukan calang-calang pengarah dan penerbit drama, Aishah menerima tawaran berlakon di bawah pengarahan Erma Fatima.

“Bila tidak menang Dewi Remaja, saya mula fikir untuk sambung belajar atau bekerja. Tetapi tiba-tiba saya dapat tawaran daripada mama Erma untuk bawa watak utama.

“Saya sedar ketika itu saya tiada asas lakonan dan tidak pandai berlakon. Namun, saya kuatkan hati menerimanya dan cuba berlakon pada hari pertama penggambaran drama tersebut,” luahnya yang mengaku namanya terpaksa digugurkan kerana tidak pandai berlakon.

Dia tidak malu mengaku hakikat tersebut, bahkan sikap lurus yang ada padanya dan barangkali mudah untuk dimanipulasi sesetengah pihak menyebabkan empunya diri tidak putus rezeki.

Anak kedua daripada empat beradik itu sekali lagi ditawarkan Erma untuk berlakon dalam naskhah seterusnya. Biarpun sekadar memegang watak pembantu, namun pelakon itu cukup bertuah kerana mendapat tunjuk ajar lakonan daripada aktor hebat Fauziah Nawi dan juga Fatimah Abu Bakar.

“Saya sedar peluang yang saya dapat ini barangkali tidak ada pada pelakon baharu yang lain dan saya sangat bersyukur dapat belajar berlakon dengan ibu Fauziah selama lima hari. Selepas itu, saya berpeluang pula dapat tunjuk ajar lakonan daripada ibu Fatimah untuk filem Pulang,” ujarnya.

Pernah muncul menerusi drama Akulah Balqis, Cik Cinderella dan Encik Tengku serta Yang Terakhir Untukku menerusi watak pembantu, akhirnya Aishah berjaya menggenggam watak utama dalam drama Cinta Roller Coaster di bawah syarikat produksi Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd.

“Ramai yang cakap susah berada dalam industri seni kalau tidak kuat. Insya-Allah, saya cuba untuk kuat dan terus belajar bagi menempatkan diri dalam industri seni,” ujarnya yang bersyukur diberi peluang untuk menjadi hos bersama dalam Anugerah Skrin 2016 (ASK2016), pada 18 November lalu.

Biarpun kreadibilitinya sebagai pelakon dan pengacara masih lagi dipertikaikan, namun jangan cepat menghukum Aishah memandangkan dia baru setahun jagung berada dalam industri seni.

 

LEAVE A REPLY