SAUDI

RIYADH: Arab Saudi menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang ahli keluarga diraja selepas disabitkan bersalah atas tuduhan membunuh, sesuatu yang jarang berlaku membabitkan seorang daripada ribuan ahli keluarga diraja Saudi.

Putera Turki Saud al-Kabir dihukum bunuh kerana menembak mati Adel al-Mahemid, seorang warganegara Arab Saudi, dalam satu insiden pergaduhan, menurut Kementerian Dalam Negeri negara itu menerusi satu kenyataan.

Kabir ialah individu ke-134 warga tempatan atau asing yang dijatuhkan hukuman bunuh tahun ini.

Arab News melaporkan pada November 2014, mahkamah di sini menjatuhkan hukuman terhadap putera yang tidak didedahkan namanya itu kerana membunuh rakannya.

Mangsa mati dan seorang lagi cedera dalam kejadian berbalas tembakan itu susulan satu perkelahian di tapak perkhemahan di pinggir ibu kota ini, pada Disember 2012.

Perkhemahan padang pasir ialah tempat perkumpulan popular bagi masyarakat Arab Saudi.

Ketika pembunuh menyedari yang mangsa tembak itu ialah rakannya, beliau memaklumkan kepada polis, menurut Arab News.

l_118188_103338_updates

Hukuman itu mencerminkan “sistem keadilan yang adil” di negara itu, kata bapa saudara mangsa, Abdul Rahman al-Falaj dipetik Arab News.

Kebanyakan mereka yang dijatuhkan hukuman mati di Arab Saudi menjalani hukuman dengan kepala dipancung dengan pedang.

Arab Saudi mengenakan kanun undang-undang Islam yang ketat di mana kesalahan membunuh, mengedar dadah, rompak bersenjata, rogol dan murtad semuanya dikenakan hukuman mati.

Amnesty International berkata negara itu menjalankan kira-kira 158 hukuman mati pada 2015, menjadikan ia negara prolifik ketiga melaksanakan hukuman itu selepas Iran dan Pakistan.

Kes bunuh dan pengedaran dadah dijatuhi hukuman mati paling banyak di Arab Saudi, bagaimanapun 47 individu dijatuhkan hukuman sama atas kesalahan “keganasan” pada satu hari yang sama pada Januari.

Pakar hak asasi manusia membangkitkan kebimbangan mengenai keadilan dalam perbicaraan yang diadakan di negara itu tetapi kerajaan berkata hukuman mati menjadi pengajaran.

LEAVE A REPLY