proton

PROTON ataupun Perusahaan Otomobil Nasional Sendirian Berhad merupakan pengeluar kereta pertama Malaysia yang ditubuhkan pada 7 Mei 1983.

Jika dilihat bermula tarikh syarikat itu ditubuhkan, Proton kini memasuki 34 tahun diwujudkan dan tidak boleh dinafikan sudah sampai masanya ia diberikan nafas baharu.

Menyedari hakikat itu, pada 24 Mei 2017, DRB-Hicom Berhad (DRB-Hicom) mencapai persetujuan dengan syarikat China, Zhejiang Geely Holding Group Co., Ltd (Geely) bagi membolehkan Geely membeli sebanyak 49.9 peratus saham dalam Proton Holdings Berhad (Proton).

DRB-Hicom masih memegang pegangan majoriti iaitu 51.1 peratus dan ianya secara majoritinya akan tetap menjadi syarikat milik Malaysia.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar memaklumkan, jenama Proton akan kekal dan bakal mengalami pertumbuhan ketara dengan kehadiran rakan strategik baharu ini.

Perjanjian itu membolehkan Proton mendapat akses kepada pelbagai platform dan enjin di bawah Geely, di samping menembusi pasaran sedia ada pembuat kenderaan China tersebut termasuklah pasaran kereta pemanduan kanan di Asia Tenggara.

Adakah menjadi kesalahan kerjasama strategik Geely-Proton?

Sudah tentu tidak.

Menerusi kerjasama strategik itu, Geely akan menerajui operasi dari segi pengurusan pengeluaran, bahagian jualan dan pemasaran.

Kerjasama strategik itu membolehkan DRB-Hicom mengurangkan komitmen modal untuk Proton termasuk untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Bagaimanapun, perjanjian itu tidak termasuk aset tanah di Tanjung Malim, Perak dan Shah Alam yang akan dipindahkan kepada DRB-Hicom.

Menerusi kerjasama itu, Proton juga akan menjual keseluruhan pegangan ekuiti dalam syarikat pembuat kereta dari Britain, Lotus, kepada Geely bernilai 100 juta pound (RM556.7 juta) sekali gus menamatkan penglibatannya dalam segmen kereta sport.

Geely akan memiliki 51 peratus dalam Lotus manakala selebihnya menerusi Etika Automotive Sdn. Bhd. yang dimiliki oleh Etika Strategi Sdn. Bhd., iaitu syarikat yang memiliki 51 peratus kepentingan dalam DRB-Hicom.

Apakah manfaat dari kerjasama itu?

Kerjasama antara Proton dengan Geely dilihat bakal melonjakkan Proton ke tahap tertinggi di masa depan.

Kepakaran teknologi Volvo yang dimiliki Geely mampu menambah baik teknologi pembuatan model-model baharu Proton.

Geely merupakan sebuah syarikat kereta di China yang sedang pesat berkembang melebihi 50 peratus jualan pada tahun 2016 iaitu penjualan sebanyak 765,851 kereta di China.

Kerjasama itu dilihat mampu mengubah nasib Proton kerana skala ekonomi mudah dicapai melalui peluang menembusi pasaran China.

Apakah yang perlu dilakukan oleh Proton dan DRB-Hicom selepas kerjasama itu?

DRB-Hicom perlu memastikan kepentingan nasional, pekerja Proton dan industri sampingan tidak akan terjejas.

Untuk rekod, Geely pemilik Volvo Car Corporation dan The London Taxi Company, adalah antara pengeluar utama kenderaan penumpang China.

Syarikat tersebut mempunyai operasi di seluruh dunia merangkumi 16 kilang pembuatan, tujuh studio reka bentuk serta lima pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Pada 2 Ogos 2010, Geely membeli pegangan dalam syarikat Sweden, Volvo dari Ford Motor.

Selepas itu, jualan kereta Volvo naik 27 peratus berbanding tahun sebelumnya. Kilang Volvo juga masih lagi di Sweden dan Belgium.

Pihak pembangkang di Sweden tidak pula membangkitkan soal penjualan pegangan Volvo ke syarikat Geely sebagai menjual kedaulatan negara Sweden.

Geely juga membeli The London Taxi Company di United Kingdom pada 2012.

Ada pihak pembangkang di United Kingdom mendakwa pembelian Geely ini menjual kedaulatan negara?

Tetapi di negara ini, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa Proton sudah dijual kepada China dan bukan lagi milik Malaysia.

Pakatan Harapan menuduh kerajaan mengadaikan kedaulatan negara bila Geely membeli saham Proton.

Sejarah sendiri menunjukkan, pada 1985 hingga 2000, Proton mengeluarkan kenderaan berdasarkan reka bentuk dan alat ganti termasuk enjin dari Mitsubishi dari Jepun.

Proton bekerjasama dengan Mitsubishi antara 1983 dan 1984 untuk pengeluaran kereta Malaysia yang pertama.

Ia bukanlah keseluruhannya hasil kerja Proton, ianya kerjasama strategik antara syarikat Jepun dengan Proton.

Adakah pada masa itu kedaulatan Malaysia tergadai kepada Jepun?

Rakyat negara ini pasti mengetahui Proton adalah sebuah syarikat korporat di bawah kawalan jutawan tempatan, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Keputusan kerjasama strategik dengan Geely adalah keputusan perniagaan kerana Syed Mokhtar tidak mahu lagi menanggung kerugian.

Adakah salah untuk Syed Mokhtar selaku pemilik Proton berbuat demikian?

Usaha yang dilakukan adalah demi memulihkan kembali Proton bukannya menjual syarikat kereta nasional itu kepada syarikat asing.

Selama ini, Proton menanggung kesengsaraan dari segi pusingan modal dan kewangan untuk menampung operasi syarikat berkenaan.

Pembelian saham oleh Geely adalah perkongsian strategik untuk membawa masa depan yang lebih baik untuk syarikat Proton dan pekerjanya.

Mahathir dan Pakatan Harapan juga pasti mengetahuinya.

Adakah Mahathir sengaja buat tidak tahu demi menyalahkan kerajaan atas kerjasama Proton dan Geely?

Angkatan Muda PKR juga menyambut baik penjualan 49.9 peratus saham Proton kepada Geely sebagai langkah positif yang boleh meliberalisasikan sektor automotif tempatan.

Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr. Afif Bahardin memaklumkan, ia adalah satu langkah yang adil dan munasabah yang dapat memastikan sektor automotif liberal, dengan itu menurunkan harga kereta kepada rakyat.

Kerajaan dan DRB-Hicom pasti akan melakukan yang terbaik demi memulihkan kembali Proton.

Rakyat seharusnya meyakini segala usaha dilakukan kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here