Sumber imej: FMT

PAS bersedia untuk meletakkan calon di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang sekiranya DUN dibubarkan oleh Kerajaan Negeri yang diketuai DAP seterusnya menyebabkan pilihan raya mengejut diadakan di negeri itu.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata walaupun akan bertanding secara bersendirian, PAS mempunyai kekuatan dan mendapat sokongan di negeri itu yang boleh membantu calon parti untuk menang.

“Kita (PAS) ada kekuatan di negeri itu kerana sejarah penubuhan parti ini di Pulau Pinang. DAP dan PKR perlu sedar mereka bergantung kepada akar umbi kita (PAS) untuk menang pada pilihan raya umum (ke-13) lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya sama ada PAS akan bertanding dalam pilihan raya negeri itu sekiranya diadakan semasa ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, hari Sabtu.

Hadi dan Guan Eng suatu ketika dahulu semasa menghadiri mesyuarat Pakatan Rakyat yang terkubur pada pertengahan Jun 2015. Sumber foto: mStar

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata PAS tidak menolak untuk berkerjasama dengan parti baharu yang bakal ditubuhkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya parti itu nanti tidak lari daripada matlamat dan perjuangan Islam.

Katanya PAS sebelum ini telah mengambil kesempatan untuk bekerjsama dengan semua pihak dengan syarat parti itu tidak mengganggu dasar Islam yang dibawa oleh PAS sejak awal penubuhannya.

Pakatan Harapan. Sumber foto: roketkini.com

“Kita (PAS) tidak ganggu dasar yang dibawa DAP dan mereka yang ganggu dasar PAS, kita bertegas dengan perkara ini dan akhirnya mereka (DAP) keluar daripada Pakatan Rakyat yang turut disertai PKR.

“PAS hari ini terus konsisten dengan dasar yang diperjuangkan sejak dahulu lagi. Blok ketiga yang diwujudkan oleh PAS, telah berkerjasama dengan lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebuah parti politik,” kata Abdul Hadi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here