Sumber imej: FMT

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyuarakan andaian beliau tetap akan dipenjarakan dan menafikan rancangan DAP membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi mengadakan pilihan raya awal di negeri itu adalah bagi menyelamatkan dirinya daripada dakwaan rasuah.

Lim Guan Eng ketika berada di Mahkamah Tinggi George Town, Pulau Pinang pada awal Julai 2016 lepas. Sumber foto: straitstimes.com

“Pilihanraya negeri akan mengembalikan mandat kepada rakyat, untuk menghakimi penyalahgunaan kuasa BN yang menginjak-injak hak kita, serta membiak korupsi bertaraf dunia yang merosakkan ekonomi dan menyusahkan kehidupan rakyat Malaysia,” kata Lim.

Lim didakwa 30 Jun lalu atas dua pertuduhan salah guna kuasa. Beliau dituduh menggunakan kuasa ketua menteri dalam pengezonan semula tanah di Lot 436 dan 437 Derah Barat daya kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn Bhd, dan mendapatkan balasan dalam bentuk rumah banglo bernilai RM2.8 juta di Jalan Pinhorn yang dijual kepadanya di bawah harga pasaran.

“DAP menerima maklum balas daripada kepemimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara yang mahu lebih masa untuk perbincangan mengenai perkara ini,” – Lim Guan Eng. Sumber imej: facebook.com

Rancangan pilihan raya mengejut itu dikatakan tidak direstui sekutu DAP dalam Pakatan Harapan, PKR dan Amanah.

Beberapa pemimpin Umno dan PAS pula mendakwa ia merupakan usaha terdesak Lim menyelamatkan dirinya sebelum perbicaraan rasuah September ini.

Bagaimanapun, Lim berkata dakwaan terhadapnya akan tetap dibicarakan walaupun DAP dan Pakatan Harapan menang pilihan raya negeri itu.
“Mereka pun sudah memutuskan untuk memenjarakan saya,” katanya.
“Tetapi jika Pakatan Harapan menang dalam pilihanraya negeri, Kerajaan Negeri Pulau Pinang boleh terus berkhidmat sebagai kerajaan rakyat, walaupun saya ke penjara.
“Dengan kata lain, Pilihanraya Negeri ini ialah untuk membolehkan rakyat memutuskan jika mereka mahukan Kerajaan Negeri DAP-Pakatan Harapan di Pulau Pinang, dengan sepenuh kredibiliti, autoriti dan keabsahan, tidak kiralah apa pun terjadi kepada saya.”
Lim turut menyatakan kekesalannya yang rancangan mahu mengadakan pilihan raya dibocorkan kepada media oleh beberapa pemimpin pembangkang yang tidak dinamakannya.
“Saya telah menyampaikan kepada ketiga-tiga pemimpin PKR semalam, tentang rasa tidak senang parti terhadap kebocoran dari sumber dalaman ini, yang sengaja dilakukan oleh pemimpin Pakatan tersebut untuk memburukkan DAP,” katanya yang menemui Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali, Naib Presiden Nurul Izzah dan Pengarah Pilihanraya Saifuddin Nasution Rabu lepas.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here