ppbm

APA lebihnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)? Sebenarnya langsung tiada kerana kewujudan parti baharu itu terus memperlihatkan bahawa orang Melayu semakin berpecah belah.

Kini, rakyat dapat melihat orang Melayu asyik menghentam dan memecah-belahkan sesama sendiri.

Pada masa sama, kaum lain terus gigih memperluaskan kuasa dan kedudukan mereka di samping membantu di antara satu sama lain.

Jadi apa gunanya penubuhan PPBM? Orang Melayu terus berpecah dan dengan perpecahan itu Melayu mungkin akan kalah pilihan raya akan datang sekali gus hilang kuasa politik yang dipegang selama ini.

Apabila ini berlaku, siapa yang akan tersenyum lebar? Pastinya DAP yang sememangnya ingin melihat orang Melayu berpecah dan mereka pasti mahu memenuhi impian mengambil alih pemerintahan negara.

Foto oleh FMT
Foto oleh FMT

Apa punca perpecahan ini berlaku? Puncanya tentu disebabkan oleh PPBM. Parti itu secara keseluruhannya disertai oleh golongan Melayu liberal yang tidak memikirkan masa depan bangsanya.

Melayu liberal dalam PPBM itu juga begitu tamakkan kuasa dan merupakan pemimpin yang tidak boleh `survive’ ketika bersama UMNO. Jadi mereka memilih PPBM untuk meneruskan agenda peribadi masing-masing.

Golongan Melayu liberal ini hanya mementingkan diri sendiri dan tidak pernah memikirkan masa depan bangsa terutamanya selepas mereka menikmati kehidupan yang selesa.

Kenapa golongan ini memilih untuk menyertai PPBM? Ini kerana parti itu diwujudkan bukan atas tujuan membela nasib bangsanya tetapi demi nafsu politik serta dendam pemimpinnya.

Sehubungan itu, golongan Melayu liberal ini terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu sehingga mudah diperalatkan tanpa memikirkan natijahnya terhadap masa depan bangsa dan negara.

Tanpa disedari, mereka sebenarnya diperalat dan diperkotak-katikkan demi membantu memudahkan jalan dan perancangan pihak tertentu.

Jika berterusan, apa akan terjadi kepada bangsa Melayu? Adakah orang Melayu akan terus maju dan mendapat pembelaan? Adakah pemimpin PPBM boleh memainkan peranan itu?

Tidak sama sekali. Sebaliknya Melayu akan terus berpecah, untuk mendapat sokongan Melayu 100 peratus kini dilihat begitu sukar sekali kerana Melayu sudah berpecah kepada beberapa parti.

muhyiddin-bersatu

UMNO kini boleh dikatakan mewakili 50 peratus Melayu, Pas 20 peratus, PKR 15 peratus, PAN 10 peratus dan PPBM pula hanya 5 peratus.

Adakah PPBM boleh menyatukan kembali orang Melayu? Semua orang tahu parti itu sendiri tiada hala tuju dalam penubuhannya dan bukan ditubuhkan untuk membela nasib orang Melayu di negara ini.

Parti itu juga sebenarnya didominasi bekas ahli UMNO yang bermasalah kecewa tidak mendapat jawatan dalam parti dan di peringkat cawangan serta kecewa hajat seorang pemimpin untuk melihat anaknya menjadi Perdana Menteri yang tidak tercapai.

Namun, bolehkan PPBM menjadi seperti UMNO? Tidak akan sama sekali.

Penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946 mempunyai matlamat jelas iaitu mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

Berbeza dengan PPBM, mereka bukan sahaja tiada hala tuju, tetapi parti ini ditubuhkan demi nafsu politik pihak tertentu dan yang paling utama untuk menjatuhkan kepimpinan sedia ada diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

malaysia-najib-razak-bribery-allegations-685x320

Namun, jangan dinafikan antara faktor semua ini berlaku ada juga disebabkan UMNO sendiri yang dilihat semakin tidak releven disebabkan pelbagai permasalahan yang berlaku dalam parti keramat orang Melayu itu.

Sehingga kini masih ramai lagi pemimpin UMNO yang masih belum sedar dan bertelagah sesama sendiri sehingga menimbulkan rasa muak rakyat.

Perbuatan merebut jawatan dan bertelagah sesama sendiri masih wujud sehingga mungkin melemahkan UMNO dalam pilihan raya akan datang.

Sama ada UMNO akan terus kukuh dan unggul seperti mana dihasratkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bergantung kepada sejauh manakah pemimpin dan ahli UMNO bersedia bermuhasabah dan melakukan pembaharuan demi memastikan parti itu terus relevan pada setiap zaman.

Jika tidak, UMNO akan gagal dalam menjadi parti tunggal yang mempertahankan nasib agama, bangsa dan negara.

Jika mahu mengharapkan PPBM? Hanyalah mimpi yang merupakan khayalan dan tidak akan menjadi kenyataan buat selama-lamanya.

Khairul Amir adalah salah seorang penganalisis politik bebas dan pembaca Malaysian Access. Artikel yang ditulis adalah pandangan peribadi beliau dan ia tidak mempunyai kaitan dengan Malaysian Access.

LEAVE A REPLY