kaum

SISTEM politik di Malaysia dilihat sebagai unik kerana masih terpecah-pecah dengan parti politik yang mewakili kaum.

Jika kita perhatikan di seluruh dunia, bilangan parti politik yang mewakili kaum ini sudah semakin terhad, namun di Malaysia parti politik berasaskan kaum menjadi penggerak terpenting kepada kemajuan negara.

Malah di parti-parti yang dilihat cuba membawa elemen pelbagai kaum juga didominasi oleh kaum tertentu dan berasaskan kepada persepsi parti berkenaan masih berdiri atas nama kaum.

Adakah menjadi satu kesalahan untuk sesebuah parti berasaskan kaum wujud dan berkembang sihat di Malaysia?

Jawapannya sudah tentulah tidak salah dan sebarang perkembangan berkaitan mengikut lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan wajar digalakkan.

Satu hal lagi yang unik tentang politik Malaysia ialah kewujudan pakatan politik untuk menewaskan musuh masing-masing dalam arena pilihan raya.

Parti politik di Malaysia tidak berdiri sendiri, tetapi memerlukan gabungan atau pakatan yang komprehensif. Ini terjadi kerana parti-parti ini bergerak atas nama kaum dan memerlukan sokongan dari parti kaum lain untuk membentuk Kerajaan.

Barisan Nasional misalnya bermula sebagai Parti Perikatan yang di dalamnya terkandung UMNO, MIC dan MCA dan formula ini jelas memberikan kekuatan untuk Perikatan yang kemudiannya menjadi Barisan Nasional di zaman Tun Abdul Razak.

Legasi kukuh yang ditinggalkan Tunku Abdul Rahman melalui Perikatan membolehkan penerusan idea itu dikemaskan di dalam Barisan Nasional dengan memayungi secara inklusif parti-parti tempatan di Sabah dan Sarawak.

Harus diakui bahawa formula Barisan Nasional merupakan formula gabungan politik paling ampuh dan strategik di negara kita dan di waktu ini kita jarang melihat persengketaan hal-hal remeh berlaku dalam gabungan ini.

Ini dinamakan kematangan dan sesebuah gabungan politik itu memerlukan tempoh yang bersesuaian untuk tumbuh dan menjadi akar paling kukuh untuk pohon sebuah negara bernama Malaysia.

Berbeza dengan Barisan Nasional, pembangkang pula dilihat melalui proses mencari keutuhan dalam pakatan mereka dan proses ini telah berlangsung sejak sekian lama, namun persengketaan masih wujud dan tembok perpaduan di antara parti juga masih tidak dapat dibina dengan baik.

Ini berlaku kerana pakatan pembangkang tidak memiliki nilai kebersamaan yang unik seperti Barisan Nasional. Nilai kebersamaan ini adalah perkara terpenting dalam mewujudkan sebuah gabungan politik yang kukuh.

Di pihak Barisan Nasional, nilai ini boleh dilihat dari sudut ideologi dan pemahaman tentang keperluan gabungan, tetapi di pihak pembangkang soal ideologi ini masih menjadi pertikaian dan sukar untuk disatukan.

Ada yang berpandangan soal masa bakal menentukan, ini satu perkara yang wajar dipersetujui, pakatan pembangkang dari zaman Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan masih tercari-cari formula penyatuan yang sejati.

Faktor pemimpin juga memainkan peranan utama dalam hal ini, bayangkan Pakatan Harapan kini tanpa Anwar Ibrahim, Tun Dr Mahathir atau pun Muhyiddin Yassin? Apa akan terjadi kepada gabungan ini?

Adakah akan berkecai seperti Pakatan Rakyat atau Barisan Alternatif sebelum ini. Tidak syak lagi hal ideologi yang menjadi penghalang terbesar untuk gabungan parti pembangkang membentuk kesepakatan bagi melawan Barisan Nasional secara satu lawan satu dalam pilihan raya.

Ini bukan cakap kosong kerana telah dibuktikan daripada perpecahan yang berlaku kepada Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.

Kita harus akui, Barisan Nasional merupakan gabungan politik paling kukuh ketika ini dan usaha menggugat pentadbiran parti pemerintah ini hanya boleh dilaksanakan jika pembangkang mampu mewujudkan sebuah gabungan yang kukuh dan memiliki nilai kebersamaan yang dipersetujui secara kolektif.

Jika tidak, angan-angan akan terus jadi angan-angan tanpa cita-cita yang munasabah.

1 COMMENT

  1. first off,. memang tak relevan pun parti berasaskan kaum, parti berasaskan warna kulit, parti berasaskan warna mata, parti berasaskan warna rambut, parti berasaskan susunan gigi, parti berasaskan bentuk hidung, parti berasaskan jenis telinga, parti berasaskan ketinggian badan, parti berasaskan kumpulan darah, parti berasaskan bulan kelahiran.. see berapa banyak parti yang sengaja diwujudkan dan dicipta dengan tujuan mendiskriminasi manusia berdasarkan ciri-ciri tertentu. well, sekarang ni atas dunia ada macam-macam kelas sosial dan corak pemikiran yang berbeza..

    politik kencang macam mana pun yang penting setiap manusia adalah makhluk bernyawa yang mesti makan, minum air, bernafas, kencing, berak, tempat berteduh, rasa selamat dan terjamin untuk hidup, hak untuk mendapat kebenaran.. actually rakyat compare apa yang ditawarkan oleh parti politik yang bertanding.. mana yang bawa manfaat kepada mereka, why not? usaha lebih lagi untuk dapat sokongan rakyat.. nak menang pilihan raya perlukan kerjasama pasukan yang gigih berkorban.. hargai team yang berpenat lelah dan rasai denyut nadi orang yang bersusah payah.. menang sebagai wakil rakyat adalah satu amanah untuk merealisasikan misi masa hadapan untuk semua..

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here