Polis
Foto Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima maklumat Malaysia menjadi hab mengatur perlawanan di Asia Tenggara, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ketua Polis Negara itu berkata, pihaknya tidak menerima maklumat mengenai dakwaan itu sama ada daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) atau mana-mana sumber lain.

Beliau berkata, PDRM adalah anggota Jawatankuasa Integriti, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang ditubuhkan untuk menangani gejala rasuah dan mengatur perlawanan.

“Kami sudah mengambil langkah-langkah aktif untuk mengekalkan integriti dalam sukan ini dan kami akan terus berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khalid mengulas kenyataan Penasihat Bebas mengenai Integriti Sukan, Chris Eaton pada forum di Singapura mengenai amalan mengatur perlawanan, anjuran Global Lottery Monitoring System (GLMS), yang ditubuhkan 27 syarikat loteri bagi memantau kegiatan itu di seluruh dunia semalam.

Eaton yang juga bekas ketua keselamatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dipetik media antarabangsa sebagai berkata: “Malaysia sudah mengatasi Singapura sebagai hab mengatur perlawanan sukan di Asia Tenggara.”

Katanya, Singapura berjaya menghapuskan beberapa sindiket mengatur perlawanan, tetapi masih ada yang mengadakan “kerjasama rapat” dengan sindiket di Malaysia.

Bekas pengarah Interpol, Ronald Noble menyifatkan rangkaian Tan yang berpusat di Singapura itu sebagai sindiket atur perlawanan paling besar dan agresif di dunia, dengan cawangan “di setiap benua”.

Sementara itu, Christian Kalb, pengarah firma penasihat CK Consulting yang turut berucap pada forum semalam berkata perjudian haram kini bernilai lebih €500 bilion (RM2,336 bilion).

Khalid berkata, polis mengalu-alukan sebarang maklumat yang mendakwa industri sukan di Malaysia sudah tercemar. “Bagaimanapun, maklumat tersebut mestilah boleh dipercayai dan disokong bukti nyata,” katanya.

 

 

LEAVE A REPLY