Jho Low
Jho Taek Low - Foto oleh Getty Images

Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Polis Singapura berkata mereka sedang menyiasat hartawan Malaysia Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low, sekutu perniagaannya Eric Tan Kim Loong, dan Mohamed Ahmed Badawy Al Husseiny berhubung dengan kes pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Pegawai penyiasat CAD Oh Yong Yang memberitahu mahkamah pada hari ke-8 perbicaraan bekas pegawai bank BSI Yeo Jiawei, berkata bahawa tiga lelaki tersebut adalah “individu yang dikaitkan” dalam siasatan CAD terhadap “kes pengubahan wang haram yang kompleks dan terbesar melibatkan berbilion dolar dalam urus niaga yang dikaitkan dengan 1MDB.

Ketiga-tiga individu ini juga sedang disiasat dalam bidang kuasa lain, kata Oh. Low dan Tan telah menjadi subjek siasatan CAD sejak tahun 2015, katanya.

Al-Husseiny, seorang warga Amerika, merupakan bekas ketua pegawai eksekutif Aabar Investments, sebuah entiti dibawah International Petroleum Investment Co. kepunyaan kerajaan Abu Dhabi. Beliau telah ditahan oleh pihak berkuasa Abu Dhabi dan sedang menunggu ekstradisi atas tuduhan berkaitan 1MDB.

Oh memberitahu mahkamah bahawa entiti Aabar Investments PJS Ltd (Samoa) dan Aabar International Investments PJS Ltd (BVI), bersama-sama dengan dua syarikat lain Aabar Investments PJS Ltd (Seychelles) dan Aabar Investments PJS Ltd (BVI) melibatkan Yeo Tan, Low, Al Husseiny dan lain-lain sedang dalam sisatan CAD .

Yeo, yang sedang dalam perbicaraan bagi empat pertuduhan menghalang keadilan, didakwa memberitahu pekerja Amicorp Group, Jose Renato Carvalho Pinto bagaimana menguruskan danasecara sah untuk entiti kononnya dikaitkan dengan Aabar Investments PJS, unit dana luar negeri Abu Dhabi International Petroleum Investment Co. (IPIC).

Apabila ditanya oleh pihak pendakwaan jika entiti ini telah dikaitkan dengan sah dengan Aabar Investments PJS, Oh berkata “CAD mempunyai alasan yang kukuh untuk mempercayai empat syarikat tidak berkaitan dengan dana kepunyaan kerajaan Abu Dhabi.”

Yeo adalah yang pertama didakwa daripada empat rakyat Singapura yang terbabit dalam skandal 1MDB. Perbicaraan selama sembilan hari berakhir pada Jumaat ini. Beliau juga menghadapi tujuh pertuduhan lain iaitu menipu, memalsukan dan penggubahan wang haram. Perbicaraan untuk tuduhan tersebut akan didengar pada tahun depan.

Individu-individu lain yang terlibat dalam kes ini iaitu Yak Yew Chee, Yvonne Seah Yew Foong dan Kelvin Ang Wee Keng. Mereka masing-masing menghadapi tuduhan rasuah, pemalsuan dan gagal melaporkan maklumat mengenai transaksi yang mencurigakan kepada pihak berkuasa.

LEAVE A REPLY