PKR

TARIKH 11 Mei pastinya menjadi tarikh keramat yang diingati oleh ahli dan pimpinan PAS serta PKR kerana tarikh itu berakhirnya tahaluf siyasi atau kerjasama yang dijalinkan sejak 1999.

Selama lebih 18 tahun menjalinkan kerjasama, sudah tentu banyak suka duka dilalui antara kedua-dua parti.

Bukan sahaja PAS mengharapkan bantuan PKR malah PKR mengharapkan bantuan PAS dalam setiap pilihan raya umum atau pilihan raya kecil yang dilalui.

Kini, kerjasama itu hanya tinggal sejarah setelah dibatalkan oleh PAS secara serta merta pada 11 Mei 2017.

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, ketetapan itu dibuat dengan merujuk kepada begitu banyak pelanggaran terhadap syarat-syarat tahaluf siyasi menurut pertimbangan hukum syarak dan akhlak Islam.

Antaranya ialah tindakan PKR tidak menyokong, malah menentang sebahagian daripada agenda Islam dibawa PAS seperti Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355).

PKR juga melanggar adab bekerjasama dalam politik seperti menyerang pimpinan PAS dan membuat tuduhan palsu yang merosakkan imej parti itu.

PKR juga khianat dalam hubungan politik dengan PAS antaranya bekerjasama dengan pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan Kelantan dan menentang dalam pilihan raya kecil Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak.

Bagaimanapun, PAS Selangor akan kekal dalam pentadbiran negeri itu walaupun tidak lagi mempunyai sebarang kerjasama politik dengan mana-mana parti yang membentuk kerajaan negeri ketika ini sama ada PKR, DAP atau PAN.

Nik Muhammad Zawawi berkata, urusan pentadbiran Selangor akan diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan merujuk kepada maslahah dan kepentingan Islam dan rakyat.

Sebelum ini, usul menamatkan tahaluf siyasi PAS-PKR diluluskan sebulat suara oleh perwakilan pada Muktamar Tahunan PAS Ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut.

Usul berkenaan dibentang oleh wakil Dewan Ulama PAS Pusat, Zulkifli Ismail dan disokong oleh wakil Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, demi menghormati mandat dan kepercayaan rakyat dalam PRU-13, PAS Selangor akan kekal sebagai sebahagian komponen dalam kerajaan negeri sehingga tamat penggalnnya nanti.

Persoalannya di sini, adakah PAS mampu bergerak sendiri tanpa sokongan PKR bagi menghadapi PRU-14?

Bagaimana pula kekuatan PKR tanpa sokongan PAS pada PRU-14?

Dan, adakah pimpinan PKR dapat menerima keputusan diputuskan Majlis Syura Ulama PAS itu?

Juga timbul persoalan, adakah Pakatan Harapan diketuai DAP gembira dengan keputusan PAS untuk memutuskan kerjasama dengan PKR?

Jika dilihat kepada perkembangan politik antara kedua-dua parti, PAS dilihat tidak mengharapkan parti lain seperti DAP dan PKR untuk menang undi, sebaliknya mempunyai kekuatan sendiri.

Sebaliknya, PKR bakal menghadapi masalah kerana kemenangan parti itu dalam pilihan raya umum banyak disumbang dan dibantu oleh PAS.

Kalau dilihat pencapaian pakatan pembangkang dalam PRU-13, PKR banyak mendapat keuntungan daripada pakatan yang dijana dengan PAS.

Prestasi sejak pilihan raya umum 1999 hingga 2013 menunjukkan PKR gagal mendominasi kawasan yang mempunyai satu kaum, sebaliknya memanfaatan kekuatan pakatannya dengan DAP dan PAS di kawasan campuran.

Pada 1999, satu-satunya kerusi parlimen dimenangi PKR yang mempunyai kurang daripada 70% pengundi Melayu adalah Permatang Pauh (67% Melayu).

Tambahan lagi, Permatang Pauh merupakan kubu kuat PKR, kerusi yang pernah disandang sekian lama oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Satu-satunya kerusi negeri dimenangi PKR yang mempunyai kurang dari 70% pengundi Melayu adalah Penanti (68% Melayu) yang terletak dalam parlimen Permatang Pauh.

Di Penanti, semua sedia maklum betapa ramainya penyokong PAS di situ.

Disebabkan kekuatan PAS itulah, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyokong penuh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkerjasama dengan PAS.

Bagaimanapun, hasrat Azmin tidak tercapai selepas PAS turut memutuskan tiada kerjasama dengan PPBM.

Untuk rekod, dalam pilihan raya umum 1999, PAS muncul pemenang terbesar dalam pakatan dikenali Barisan Alternatif apabila berjaya memenangi 27 kerusi parlimen, 98 kerusi negeri dan membentuk kerajaan negeri Terengganu selain Kelantan.

DAP waktu itu berdepan kekecewaan besar apabila hanya meraih 10 kerusi parlimen dan 11 kerusi DUN. PKR pula yang baharu muncul, memenangi 5 kerusi parlimen dan 4 kerusi DUN.

Pada PRU-14, DAP memenangi 38 kerusi Parlimen kerana kerjasama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Ini termasuk 16 kerusi parlimen di Semenanjung yang mempunyai kurang dari 60% pengundi Cina (9 daripadanya mempunyai kurang dari 50% pengundi Cina).

Dan memenangi 44 kerusi DUN yang mempunyai kurang dari 60% pengundi Cina (15 daripadanya mempunyai kurang dari 50% pengundi Cina).

Jika dilihat kepada keputusan itu, ternyata impak yang diberikan oleh PAS begitu tinggi sekali dalam menentukan sokongan pengundi kepada pakatan pembangkang.

Kini, tiada lagi PAS dalam Pakatan Harapan diketuai DAP dan adakah pakatan itu mampu memperoleh sokongan Melayu pada PRU-14?

Adakah PKR mampu menggalas tugas ditinggalkan PAS itu bersama gabungan baharu Pakatan Harapan, PPBM?

Sebelum ini, PKR menaruh harapan PAS tidak akan menamatkan kerjasama selama 18 tahun dengan PKR, walaupun Dewan Ulama dan Pemudanya sudah meluluskan usul memutuskan tahaluf siyasi dengan parti itu tanpa bahas pada muktamar PAS di Kedah.

Naib Presiden PKR, Dr. Shaharuddin Badaruddin berkata, PKR sudah sebati dengan perjuangan PAS yang menjalin kerjasama dengannya sejak 1999.

Pada 5 Oktober 2015, Naib Presiden PKR, Tian Chua seperti dilaporkan akhbar berbahasa Cina, Guan Ming Daily memaklumkan PKR tidak perlu bertanding pada PRU-14 sekiranya tidak dapat bekerjasama dengan PAS.

Tian Chua dilaporkan berkata, PKR tidak perlu meletak calon pada PRU-14 jika parti itu gagal mengadakan kerjasama dengan PAS kerana pertukaran kerajaan memerintah bergantung kepada pengundi Melayu.

Kata Tian Chua, PKR bergantung kepada undi kaum itu kerana kebanyakan kerusi yang ditandingi parti berkenaan majoritinya merupakan pengundi Melayu.

Menurut Tian Chua lagi, PKR bakal mengalami kekalahan teruk jika tidak mendapat sokongan PAS atau berlaku pentandingan tiga penjuru.

Ternyata PKR menyedari bahawa undi Melayu adalah faktor utama kepada pembangkang terutamanya pada masa ini kedudukan kerusi PKR kebanyakannya di kawasan yang ada banyak pengundi Melayu.

Tanpa sokongan PAS atau berlaku tiga penjuru, PKR akan berdepan dengan musibah yang teruk.

Adakah PKR mampu menghadapinya pada PRU-14 nanti? Ianya hanya akan dapat dilihat selepas berakhirnya PRU-14 nanti.

Yang pastinya, PKR sememangnya benar-benar mengharapkan sokongan PAS dan tiada siapa boleh menafikannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here