PKR Nafi

PKR menafikan laporan sebuah portal yang mendakwa bahawa biro politik parti itu yang bermesyuarat malam semalam bersetuju untuk melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi Pakatan Harapan.

“Malangnya laporan itu tidak tepat. Sebarang pengumuman rasmi akan dibuat melalui Majlis Presiden Harapan,” kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil kepada Malaysiakini.

Ditanya sama ada perkara itu dibincangkan pada mesyuarat semalam, beliau berkata, perbincangan sedang dijalankan, tetapi enggan mengulas lanjut.

Portal Insight Malaysia yang memetik sumber melaporkan bahawa PKR bersetuju supaya pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dilantik sebagai pengerusi HARAPAN, manakala presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menjadi presiden gabungan itu.

“Belum lagi. Perbincangan sedang berlangsung. Terdapat beberapa idea yang dilontarkan tetapi masih dibincangkan,” kata seorang daripada anggota biro politik itu.

Sumber itu berkata, terdapat perbezaan dari segi kuasa antara pengerusi dan presiden, seperti dalam struktur syarikat, oleh itu PKR mahu penjelasan dibuat sebelum membuat sebarang keputusan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here