Pilihanraya UK

Hari ini (8 Jun 2017), rakyat di seluruh United Kingdom (UK) akan mengundi untuk memilih Kerajaan. Saingan sudah tentu berkisar tentang pertentangan dua parti utama di negara berkenaan, Parti Konservatif pimpinan Perdana Menteri semasa, Theresa May dan Parti Buruh pimpinan Jeremy Corbyn. Ramai penganalisis politik berpandangan pilihan raya ini diadakan bagi membolehkan May mendapatkan mandat baru bagi mengharungi pentadbiran UK mengadakan rundingan semula dengan Kesatuan Eropah (EU) apabila majoriti rakyat UK memilih Brexit atau mengundi untuk keluar dari EU tahun lalu.

Cabaran dihadapi pentadbiran May kini ialah lebih 70 peratus anggota Parlimen UK mengundi untuk kekal di dalam EU dan ini jelas bertentangan dengan suara hampir 60 peratus rakyat yang mahu keluar dari Kesatuan berkenaan. Sehubungan itu, mendapatkan mandat baru dengan kemenangan majoriti besar adalah hasrat terbesar May untuk mengukuhkan kedudukan dalam mengadakan rundingan dengan EU.

Berdasarkan kepada tinjauan semasa, Parti Konservatif kini mempunyai harapan cerah untuk memenangi pilihan raya ini namun begitu, ramai penganalisis yang ditemui memberi gambaran Corbyn mungkin akan menjadi calon terbaik Perdana Menteri UK.

May memiliki pendirian unik untuk membawa keluar UK dari EU menjelang 2019 jika diberikan mandat kukuh dalam pilihan raya kali ini. Namun begitu, sebarang ketidaktentuan dalam keputusan pilihan raya kali ini akan memberikan kesan kepada Brexit dan bagaimana UK mahu menanganinya. Corbyn jelas mahu membawa Brexit ke penghujung dan meletakkan kedudukan UK pada tahap lebih harmoni dengan hubungan Bersama-sama EU.

Selain Brexit, satu lagi perkara yang tiba-tiba muncul dalam agenda kempen parti-parti bertanding ialah isu keselamatan. Hal ini mula dipandang serius sejak kebelakangan ini apabila UK menjadi sasaran serangan sehingga menyebabkan kehilangan nyawa. Terbaru insiden di Manchester dan London. Kekuatan dasar dalam isu keselamatan merupakan antara tunjang utama yang akan menjadi perhatian rakyat UK selain tawaran berharga dalam isu kebajikan sosial dan keutuhan ekonomi.

Apabila serangan berlaku di kedua-dua tempat berkenaan, secara pantas tumpuan kempen parti-parti terlibat terarah kepada isu berkaitan keselamatan dan kaedah pengukuhan kawalan keselamatan di negara berkenaan. Corbyn misalnya menyifatkan dasar sedia ada menjadikan UK sebagai negara kurang selamat dan terdedah kepada ancaman serangan berbahaya dan sebenarnya kenyataan Corbyn dengan mengambil kesempatan terhadap insiden yang terjadi berjaya menggugat secara sedikit kedudukan Parti Konservatif dalam tinjauan semasa yang dibuat.

Namun begitu, May dilihat cuba bersikap profesional dan tidak menggunakan insiden serangan ini sebagai asas kepada kempennya apabila dilihat enggan menjawab pertanyaan-pertanyaan media berkaitan isu ini. May hanya memaklumkan insiden masih dalam siasatan dan langkah-langkah khas akan diambil dalam memperketat kawalan keselamatan di UK.

Setiausaha Pertahanan UK, Michael Fallon bagaimanapun dilihat seperti menyerang Corbyn apabila mendakwa pemimpin Parti Buruh itu sebagai ancaman kepada keselamatan UK berhubung dasar berlainan yang cuba dibawakan beliau dalam isu pertahanan dan keselamatan.

Pemenang pilihan raya kali ini sudah tentu terletak dalam tangan rakyat dan ramai yang memberi gambaran keputusan referendum Brexit tempohari boleh dijadikan asas kepada keputusan pilihan raya kali ini dan keputusan yang berbeza mungkin dilihat sebagai satu kejutan rakyat terhadap Brexit. Namun yang jelas kelebihan masih berpihak kepada May dan Corbyn memerlukan kekuatan berbeza untuk mengubah senario ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here