Piala Dunia 2022
SETIAUSAHA Agung FIFA, Fatma Samoura

DOHA: Setiausaha Agung FIFA, Fatma Samoura berkata, badan induk bola sepak dunia itu “menghormati” budaya Qatar berhubung isu sensitif penjualan arak di stadium pada Piala Dunia 2022.

Bagaimanapun, Samoura yang bercakap di sini, berkata FIFA bagaimanapun masih belum berbincang dengan pegawai Piala Dunia di negara Teluk itu tentang apa yang akan dijual di stadium ketika kejohanan dan masih lama lagi untuk membuat keputusan akhir.

Kenyataannya dibuat susulan kenyataan pegawai paling senior Qatar, Hassan Al-Thawadi yang berkata penganjur 2022 melarang arak di dalam stadium.

“Pengambilan alkohol tidak akan dibenarkan di jalanan, tempat awam, dataran dan ia muktamad.

“Bukan semua tempat dilarang tetapi hanya boleh minum di tempat yang jauh,” katanya dalam temuramah bersama ­akhbar berbahasa Arab, Al-Sharq.

Minuman beralkohol tidak sepenuhnya dilarang di Qatar dan ia boleh didapati di hotel, yang mana warga asing yang menetap di situ boleh membelinya selepas memohon lesen.

Minum di tempat awam bagaimanapun tidak dibenarkan, malah membawa masuk alkohol ke negara itu juga dilarang.

Menurut Hassan lagi, mereka tidak boleh menentang undang-undang negara hanya demi pe­nganjuran.

“Kami menghormati kepercayaan dan kebudayaan negara ini,” kata Samoura selepas pertemuan antara FIFA dan pegawai Qatar.

“Perkara terakhir yang FIFA mahu adalah dituduh tidak memberi perhatian tentang kepercayaan seperti ini.”

Isu arak menjadi kontroversi terbaru membelenggu kejohanan yang bakal berlangsung di Qatar.

LEAVE A REPLY