Piala AFF Suzuki 2016
Foto Harian Metro

YANGON: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal berdepan penggantungan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) jika kerajaan Malaysia mengarahkan skuad Harimau Malaysia menarik diri daripada saingan Piala AFF Suzuki 2016 yang sedang berlangsung di Yangon, Myanmar.

Setiausaha Agung Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) Datuk Seri Azzuddin Ahmad berkata, jika hasrat untuk memboikot kejohanan itu diteruskan banyak impilikasi buruk terhadap bola sepak tanah air.

“Pihak AFF kesal dengan usul penarikan diri skuad kebangsan daripada meneruskan saingan pusingan akhir Piala AFF di Yangon. Isu penindasan etnik Rohingnya sudah lama kenapa sekarang usul ini begitu ghairah dibangkitkan”.

“Kejohanan ini mendapat pengiktirafan FIFA, jika Malaysia menarik diri, kemungkinan FAM boleh digantung kerana bola sepak kena bebas.

“AFF juga boleh mengambil tindakan kepada FAM dengan mengenakan hukuman penggantungan tidak beraksi dalam dua kejohanan Piala AFF selepas ini, tapi kami tidak mahu ini berlaku dan berharap semua pihak dapat meneliti isu ini dengan serius sebelum buat keputusan.

“Jika pasukan bola sepak menarik diri di kejohanan ini, adakah Myanmar juga akan dikecualikan daripada menyertai Sukan SEA di Kuala Lumpur tahun depan?,” katanya dalam sidang media khas sebentar tadi.

Kedudukan Harimau Malaysia untuk terus bertanding atau memboikot Piala AFF 2016 bergantung kepada keputusan mesyuarat kabinet esok.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan mengikut mana-mana statut persekutuan termasuk Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Kofederasi Bola Sepak Asia (AFC), bola sepak adalah berkecuali daripada politik, agama dan semua aspek.

“Saya perlu nyatakan FAM tidak akan menarik diri daripada Piala AFF Suzuki. Kalau kita nak tarik diri, sepatutnya dari awal lagi kita sudah buat dan isu (berkenaan masyarakat Rohingya) ini sudah lama.

“Saya berpendapat mengapa FAM atau bola sepak yang menjadi mangsa terhadap isu ini, kenapa tidak lihat kepada perkara lain. Jadi ini boleh menjejaskan moral pemain,” katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Gesaan untuk memboikot kejohanan itu ditimbulkan beberapa pihak termasuk Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebagai solidariti membantah kekejaman rejim junta tentera terhadap umat Islam di Myanmar.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang mencatat kemenangan ke atas Kemboja 3-2 dan tewas 0-1 di tangan Vietnam perlu mengatasi Myanmar pada aksi terakhir kumpulan Sabtu ini untuk layak ke separuh akhir.

Jika layak, Malaysia akan pulang semula ke tanah air untuk meneruskan cabaran menerusi format timbal balik bertemu pencabar dari Kumpulan A.

LEAVE A REPLY