pertanian

SEKTOR pertanian di Malaysia telah mengalami kemerosotan semenjak pihak kerajaan memberi lebih tumpuan kepada sektor industri dan perkhidmatan dalam tahun 1990-an. Sebelum negara mencapai kemerdekaan sehingga tahun 1980-an, sektor pertanian telah memainkan peranan yang penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang berpanjangan, pembasmian kemiskinan, dan keselamatan makanan negara.

Di sebalik sumbangan sektor pertanian yang semakin berkurangan, ia masih merupakan satu-satunya sektor yang sumbangannya agak signifikan dan memberi kestabilan ketika negara berhadapan kegawatan ekonomi sekitar tahun 1986-87 dan 1997-98.

Pembangunan sektor pertanian adalah berpandukan kepada Dasar Agromakanan Negara (2011-2020) dan Dasar Komoditi Negara (2011-2020) yang bermatlamat meningkatkan pengeluaran makanan dan eksport komoditi industri. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10, sektor pertanian dianggarkan mencatat kadar pertumbuhan tahunan purata sebanyak 2.4 peratus.

pertanianDalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), sektor pertanian yang terdiri daripada subsektor agromakanan dan komoditi industri akan ditransformasi dan dimodenkan supaya menjadi sektor berpendapatan tinggi dan mampan. Sektor pertanian dijangka berkembang pada kadar 3.5 peratus setahun dan menyumbang sebanyak 7.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2020.

Sektor pertanian merupakan salah satu sektor yang diletakkan di bawah 12 Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (National Key Economic Area – NKEA) sebagai pemacu kegiatan ekonomi yang berpotensi memberi sumbangan secara langsung yang penting kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia. NKEA Pertanian disasarkan untuk meningkatkan jumlah sumbangan Pendapatan Negara Kasar (PNK) sebanyak RM34 bilion untuk mencapai RM49 bilion menjelang tahun 2020.

Selain itu, NKEA ini akan mewujudkan 75,000 pekerjaan tambahan, terutamanya di kawasan luar bandar dan menetapkan sasaran untuk menaikkan pendapatan petani yang mengambil bahagian dalam inisiatif ini sebanyak dua hingga empat kali ganda.

Di sebalik keyakinan kerajaan terhadap sektor pertanian, bank-bank komersil di Malaysia pula melihat dari sudut yang berbeza. Keyakinan lebih tertumpu kepada sektor perindustrian dan perumahan bagi diberikan kemudahan pinjaman kewangan. Keadaan ini sedikit sebanyak memberikan impak terutamanya bagi petani meningkatkan kualiti dan taraf mereka daripada petani tradisional kepada petani moden.

Lantaran itu, terdapat gesaan agar bank-bank komersil di negara ini meneliti semula portfolio pinjaman untuk usahawan tani bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan ke peringkat global.

pertanianMalah agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut menyediakan pinjaman tanpa faedah kepada siswazah universiti awam dan swasta yang berminat untuk menjalankan perniagaan dalam pelbagai bidang khusunya agromakanan dan pertanian. Komitmen berterusan pihak kerajaan dalam membantu sektor pertanian juga dapat dilihat melalui pelbagai insentif yang diberikan termasuk subsidi harga padi dan beras, subsidi baja, insentif pengeluaran padi, insentif tangkapan ikan, elaun sara hidup nelayan dan sebagainya. Semua insentif ini diwujudkan bagi membantu para usahawan yang baharu dalam bidang masing-masing dan meringankan beban mereka di samping membantu warga tani sedia ada.

Selain itu, hala tuju sektor pertanian Malaysia perlu diperhalusi semula di bawah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) agar sektor itu benar-benar memberi impak yang signifikan terhadap ekonomi negara. Meskipun TPPA tidak terlalu memberi kesan kepada sektor pertanian kerana Malaysia telah mengamalkan dasar terbuka dalam pertanian, namun perjanjian itu menjadi penanda aras terhadap prestasi dan prospek masa depan negara dalam sektor berkenaan.

Kajian juga perlu dilakukan bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan berbanding negara-negara pesaing khususnya dalam merebut akses pasaran pertanian dan menjadi pengeluar produk-produk makanan berasaskan pertanian.

pertanian

Sehingga ke hari ini, sektor pertanian terus relevan dan menjadi penyumbang ketiga terbesar dalam ekonomi negara serta menjadi salah satu teras ekonomi strategik membabitkan faktor sosial khususnya kesejahteraan rakyat dan keselamatan bekalan makanan negara. Peruntukan besar turut diberikan oleh pihak kerajaan untuk memodenkan sektor pertanian di samping mentransformasikan sektor makanan agar terus berdaya saing.

Lantaran itu kelangsungan sektor pertanian perlu seiring dengan pemerkasaan teknologi dan inovasi dalam pertanian. RMK-11 bakal menyaksikan permodenan sektor pertanian melalui penggalakkan amalan pertanian mampan dan penggunaan teknologi moden untuk menjana pendapatan lebih tinggi.

 

1 COMMENT

LEAVE A REPLY