Tuesday, May 23, 2017
Home News Biz Permintaan Sektor Penerbangan Lebih Tinggi

Permintaan Sektor Penerbangan Lebih Tinggi

46
0

Permintaan terhadap sektor penerbangan pada suku pertama tahun ini menunjukkan lebihan bekalan meskipun syarikat penerbangan Malindo Air dan AirAsia telah menambah lebih banyak tempat duduk dalam tempoh berkenaan.

Penganalisis Maybank IB Research, Mohshin Aziz berkata, keadaan itu didorong oleh beberapa faktor antaranya kedata­ngan pelancong dari China me­ningkat dengan ketara pada Mac lalu dan penyusutan ringgit berbanding mata wang global yang lain menjadikan Malaysia destinasti percutian yang murah.

Katanya, dalam masa sama, larangan kerajaan China terhadap penduduknya untuk melancong ke Korea Selatan turut menyumbang kepada peningkatan kedatangan pelancong dari negara berkenaan ke Malaysia.

“Permintaan yang melebihi bekalan pada suku pertama 2017 adalah sesuatu yang mengejutkan, walaupun kami menyedari ia semakin meningkat berdasarkan pertumbuhan permintaan-bekalan bagi industri Malaysia sejak Januari 2016. Ini menunjukkan pasaran lebih daripada mampu untuk menyerap tambahan kapasiti pertumbuhan.

“Dalam masa sama, aliran trafik penumpang yang dikeluarkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkembang 9.6 peratus kepada 23.2 juta penum­pang pada suku pertama tahun ini melebihi unjuran asas kami iaitu lapan peratus. Malah, pertumbuhan bagi aliran trafik domestik dan antarabangsa, kedua-duanya adalah kukuh,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Menurut MAHB, bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, penumpang untuk penerbangan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) meningkat 12.6 peratus daripada 8.96 juta kepada 10.09 juta manakala bagi penerbang­an domestik meningkat 13.1 peratus daripada 3.55 juta kepada 4.02 juta penumpang.

Penumpang bagi penerba­ng­an antarabangsa di lapa­ngan terbang domestik selain KLIA meningkat 8.4 peratus daripada 1.48 juta kepada 1.61 juta manakala aliran trafik domestik menyaksikan peningkatan 6.9 peratus.

Secara keseluruhan, penum­pang trafik untuk tiga bulan pertama tahun ini di Malaysia meningkat 10.5 peratus kepada 23.39 juta daripada 21.17 juta pada 2016.

Mohshin berkata, keadaan itu secara tidak langsung menjadikan faktor muatan industri semakin tinggi dan sektor penerbangan berupaya meningkatkan beban purata faktor muatan memandangkan syarikat penerba­ngan mengutamakan penggunaan kapasiti dan dalam masa sama tidak banyak pengenalan laluan baharu.

Katanya, dalam pasaran yang sudah matang, misalnya Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, faktor muatan industri menghampiri paras 80 peratus.

Beliau memberitahu, harga minyak kapal terbang pada suku pertama 2017 juga menyaksikan peningkatan yang besar iaitu 48 peratus dan berlegar pada AS$64.1 (RM280.76) setong.

“Ini bermakna, kedua-dua syarikat penerbangan iaitu Air­Asia dan AirAsia X akan mendapat sedikit keselesaan dari segi kos dan mampu mengimbangi kesan daripada penyusutan ringgit berbanding dolar AS dalam tempoh berkenaan. Kami percaya kos unit kedua-dua syarikat pe­nerbangan juga adalah mendatar dari tahun ke tahun,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here