Perdana

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyerahkan peruntukan sebanyak RM80 juta kepada sekolah pondok berdaftar, Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan institusi tahfiz.

Perdana Menteri berkata peruntukan di bawah Tabung Khas Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah seperti mana yang diumumkan dalam Bajet 2017 itu bertujuan memperkasa dan memperkukuhkan institusi pendidikan agama ke arah lebih cemerlang.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi menyelaraskan dan membangunkan pendidikan tahfiz melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN), kali pertama peruntukan seumpamanya diberikan kerajaan dalam sejarah pendidikan tahfiz negara, katanya.

“Jika itu hasrat ibu bapa (menghantar anak ke sekolah tahfiz), maka menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menentukan ia bukan sahaja pilihan ibu bapa tetapi satu pilihan yang dapat melahirkan insan-insan yang cemerlang.

“Sebab itu, saya mengambil keputusan meluluskan peruntukan tersebut untuk menggalakkan DPTN yang digubal boleh menentukan garis panduan supaya pembangunan pendidikan tahfiz menjadi lebih tersusun dan bersistematik,” katanya ketika berucap pada majlis penyampian peruntukan itu di Seri Perdana di Putrajaya.

Majlis penyerahan peruntukan membabitkan 819 penerima mewakili sekolah pondok, SMAR dan institusi tahfiz dari seluruh negara itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha.

Najib menegaskan bahawa komitmen kerajaan dalam membangunkan Islam dan institusi pendidikan Islam berada di tahap tertinggi terutama selepas memperkenalkan Indeks Syariah Malaysia (ISM) pada 2015, iaitu satu usaha untuk mengukur tahap keseriusan kerajaan dalam melaksanakan pembangunan negara berasaskan lapan prinsip maqasid syariah.

Perdana Menteri berkata daripada lapan prinsip berkenaan iaitu pendidikan, perudangan Islam, ekonomi, politik, kesihatan, sosial, kebudayaan serta prasarana dan persekitaran, bidang pendidikan mencatat pencapaian skor tertinggi 82.5 peratus, yang merupakan pencapaian yang perlu dibanggakan.

“Kejayaan ini adalah sesuatu yang amat bersejarah dan membanggakan di mana ia menjadi lebih menarik apabila turut diiktiraf pihak luar dengan kehadiran Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud yang juga ‘Penjaga Dua Kota Suci ke Malaysia pada 26 Feb hingga 1 Mac lepas,” katanya.

Najib berkata selain memantapkan hubungan Malaysia dengan negara Teluk, lawatan itu juga merupakan satu pengiktirafan kepada negara atas kejayaan dasar-dasar yang diperkenalkan terutama dalam memartabatkan Islam dan memajukan ummah.

Buat masa ini, sejumlah 129 sekolah pondok, 99 SMAR dan 591 institusi tahfiz berdaftar mendapat manfaat daripada peruntukan RM80 juta itu

Dalam pada itu, perdana menter turut mengumumkan pemberian insentif sebanyak RM10,000 kepada institusi tahfiz swasta yang mendaftar dengan pihak berkuasa agama negeri.

“Kerajaan komited dalam membangunkan institusi pendidikan Islam dan atas pertimbangan khas, saya umumkan insentif RM10,000 ini di mana lokasi serta cara pengagihannya akan diuruskan oleh JAKIM,” katanya.

Sementara itu, beberapa wakil sekolah pondok, SMAR dan tahfiz yang hadir sebagai penerima menzahirkan penghargaan kepada perdana menteri atas keperihatian dan komitmen yang ditunjukkan kerajaan dalam mempertingkat, memperkukuh dan memartabatkan ketiga-tiga institusi tersebut.

Pengerusi Kompleks Madrasah Darul Naim, Padang Halban, Kelantan, Mohd Aziz Che Man berkata peruntukan sebanyak RM20.88 juta yang diberikan kepada negeri itu diyakini dapat mengukuhkan sistem pengajian pondok di negeri itu.

Beliau berkata lebih 49,000 pelajar daripada 38 sekolah pondok, 49 SMAR dan 28 maahad tahfiz akan mendapat manfaat daripada peruntukan tersebut.

Bagi Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor, Muhammad Hafiz Mohd Haneefa pula, pemberian dana itu dilihat amat tepat dalam mengukuhkan infrastruktur institusi tahfiz di negeri itu yang kini berjumlah lebih 300 buah dengan pelajar berdaftar berjumlah 18,000 orang.

Beliau berkata selain memantapkan aspek pembelajaran, peruntukan itu juga akan digunakan untuk menambah baik prasarana pusat tahfiz sekali gus membuang tanggapan tahfiz hanyalah ‘tempat buangan’ bagi pelajar yang bermasalah dalam kalangan masyarakat. -Bernama

SHARE
Previous articlePakatan Harapan Konsisten Untuk Kurangkan Peratus GST Kepada Sifar
Next articleFattah Amin Bakal Lancar Novel
Seorang kolumnis bebas yang berasal dari hutan batu KL. Ruang lingkup dunia tanpa sempadan pada masa kini menjadikan saya sebagai seorang kaki travel bajet dan 'foodie in the making'. Pada masa bosan-bosan akan melayan update 'trending' netizen... Saya sangat berminat dengan perkembangan pertahanan dan politik domestik serta global. Nak berbalah boleh tapi biarlah dalam 'mode' yang bertamadun ye...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here