Perdana Menteri PH

Baru-baru ini pemimpin pembangkang yang kini ditahan di penjara, Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan yang agak mengejutkan apabila beliau menarik diri daripada menjadi calon perdana menteri mewakili Pakatan Harapan (PH). Kenyataan Anwar ini dibuat ketika berlaku pergelutan dalam PH mengenai barisan kepimpinan yang akan mengepalai gabungan politik itu jika berjaya menang dalam pilihan raya akan datang.

Anwar dilaporkan berkata PH sewajarnya memberi tumpuan sepenuhnya kepada pilihan raya umum dan menghentikan segala sengketa berhubung calon perdana menteri. Tindakan Anwar ini boleh dilihat sebagai satu usaha drastik untuk memastikan fokus PH terus terarah kepada tujuan menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional di samping mahu memulihkan keyakinan rakyat terhadap gabungan itu yang tercalar akibat pergeseran berhubung calon perdana menteri dalam kalangan pemimpin PH.

Kata-kata Anwar boleh disifatkan sebagai satu tamparan kepada semua yang memberi kenyataan atau menyimpan cita-cita menjadi perdana menteri. Anwar tetap dengan pendiriannya bahawa calon perdana menteri dari PH wajar dibuat menerusi rundingan dan konsesus berterusan bagi memastikan calon yang dipilih mampu memberi keyakinan kepada rakyat dan semua parti dalam gabungan berkenaan.

Apa yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim ini jika diteliti boleh dianggap sebagai satu sindiran kepada bekas musuh politiknya yang kini berada bersama-sama PH, siapa lagi kalau bukan Tun Dr. Mahathir. Pengaruh Tun M dalam PH kini semakin meluas dan kebanyakan anggota parti Anwar sendiri, Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga dilihat cenderung memberi sokongan kuat terhadap bekas perdana menteri keempat itu untuk menerajui PH.

Sebelum ini Tun M juga ada menyatakan kesediaan untuk menjadi perdana menteri jika rakyat mahukan perkara berkenaan terjadi. Jelas sekali hal ini tidak disenangi Anwar kerana sebagai seorang pemimpin pengasas kepada gabungan politik pembangkang yang kuat, Anwar melihat PH perlu memberikan perhatian kepada urusan pengukuhan gabungan berbanding menanam angan-angan yang masih jauh untuk digapai.

Perseteruan dalam PH mengenai siapa yang akan menjadi perdana menteri dilihat agak kuat kerana Parti BERSATU dilihat mahu meletakkan pemimpin mereka sebagai individu penting dalam PH dan ini jelas seperti tidak menghormati konsensus seperti dimahukan Anwar. Sesebuah parti yang terlalu dominan bukanlah bentuk kerjasama atau gabungan politik yang diperlukan oleh Anwar. Malah pemimpin tertinggi PKR itu melihat aspek keseimbangan dan peluang sama rata adalah ruang yang perlu diterokai dalam mengukuhkan PH.

Namun begitu, di sisi lain adakah Anwar sebenarnya sedang merajuk kerana peranannya seperti menjadi kecil sejak Tun M membentuk BERSATU dan menyertai PH. Seperti dinyatakan sebelum ini, ramai pemimpin utama dalam PKR juga dilihat rapat dan bersetuju dengan pandangan-pandangan Tun M. Sehubungan itu, kenyataan dikeluarkan Anwar itu boleh dibaca sebagai usaha menarik kembali sokongan dan perhatian di samping menonjolkan bahawa calon sebenar perdana menteri bagi PH masih beliau dan tempatnya belum boleh diganti oleh mana-mana calon.

Cita-cita Anwar untuk muncul sebagai perdana menteri belum lagi padam dan adakah Tun M sekali lagi bakal menghalang cita-cita berkenaan?

Drama politik PH bakal berterusan selagi pilihan raya umum belum selesai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here