Perdana Menteri

Sejak akhir-akhir ini Pakatan Harapan sedikit ‘kecoh’ dengan isu siapa mahu jadi Perdana Menteri. Angan-angan memang mudah dan sesiapa juga mampu membeli angan-angan. Malah harga angan-angan tidaklah naik turun seperti harga minyak di negara kita.

Pada Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini, semua pemimpin parti berkenaan telah membuat keputusan untuk memilih tokoh yang kini dipenjarakan, Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri jika Pakatan Harapan diizinkan Tuhan dan dimahukan rakyat menguasai Putrajaya.

Anwar bukanlah sosok asing dalam politik negara dan beliau dilihat sebagai satu-satunya calon paling bersesuaian untuk mewakili Pakatan Harapan. Namun satu hal yang jelas, nostalgia PKR terhadap Anwar begitu kuat, malah sampai susah untuk dipisahkan dan kita agak gusar jika hanya semata-mata sentimen nostalgia menjadikan Anwar calon tunggal dari PKR untuk Perdana Menteri mewakili Pakatan Harapan.

Isu calon Perdana Menteri ini tidak terhenti sehingga itu, malah pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP), Zaid Ibrahim melihat Tun Dr Mahathir Mohamad ialah wira yang paling sesuai menjadi Perdana Menteri semula.

Walaupun sudah melepasi usia 90 tahun, namun bagi Zaid ketajaman pemikiran Tun M masih sama seperti dulu, malah daya kepimpinan beliau juga amat dinantikan apabila membuat kemunculan semula di pentas politik.

Tun M yang kini memimpin parti politik alternatif kaum Melayu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dilihat sebagai saingan paling rapat buat Anwar, justeru mengulang semula persaingan dalam senyap mereka lewat 1990an sehingga membawa kepada pemecatan Anwar.

Pencalonan Tun M oleh Zaid Ibrahim ini juga satu nostalgia, sandaran pada kenangan dan jasa dan tidak berasaskan kepada realiti semasa dan keperluan untuk menonjolkan kepimpinan lebih segar dan muda.

Tun M yang pada mulanya dilihat menolak sebarang tawaran untuk menjadi Perdana Menteri, telah membuka mulut dalam satu temubual khas di Facebook rasmi beliau. Tun M kini menyatakan kesediaan untuk menjadi Perdana Menteri semula jika rakyat benar-benar mahukan beliau beraksi kembali.

Namun, media pantas mendapatkan komen Anwar dalam hal ini dan jelas Anwar menyatakan pemilihan Perdana Menteri adalah berasaskan kepada konsensus Pakatan Harapan.

Di tengah-tengah gelora siapa mahu jadi PM ini, muncul Hadi Awang selaku Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang kini bergerak solo.

Hadi dalam artikel yang terbit di sebuah portal berita Internet jelas menyindir angan-angan menjadi Perdana Menteri yang muncul dalam Pakatan Harapan. Bagi Hadi PAS tidaklah terlalu terdesak untuk menyertai perlumbaan ini.

Amat pelik untuk kolektif politik seperti Pakatan Harapan membincangkan hal calon Perdana Menteri secara terbuka dengan pelbagai pandangan nama calon. Ini merupakan satu tindakan politik yang kurang bijak kerana mencerminkan keadaan kolektif ini seperti terlalu terdesak dalam mencapai cita-cita dan belum apa pun terjadi sudah ada pertentangan tentang calon Perdana Menteri sendiri.

Sewajarnya Pakatan Harapan memberi tumpuan kepada gerak kerja untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 dan jika wujud sekali pun perbincangan mengenai calon Perdana Menteri, perkara itu tidak wajar dibincangkan secara terbuka, cukup sekadar dibangkitkan dalam mesyuarat dalaman dan sebagainya.

Dalam hal ini, Barisan Nasional (BN) dilihat sudah pun mendapat satu mata percuma kerana hal-hal pemilihan kepimpinan tertinggi ini tidak menjadi polemik terbuka, tetapi kekal sebagai urusan dalaman parti.

Untuk Pakatan Harapan, jika benar-benar mahu dilihat sebagai jaguh yang menjuarai liga kehidupan rakyat dan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya, perbincangan calon Perdana Menteri ini perlu dihentikan secepat mungkin dan tumpuan kepada kerja-kerja lebih penting perlu dibuat, menang dahulu, PM kemudian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here