siti nurhaliza
Cover image via Kosmo

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza baru sahaja kembali ke Malaysia selepas bercuti selama tiga minggu di tiga buah negara iaitu Sepanyol, Portugal dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE). Menariknya ia merupakan percutian pertama buat Siti bersama 28 orang ahli keluarga suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K.

Menurut penyanyi lagu Jaga Dia Untukku itu, paling bermakna ia merupakan percutian ke luar negara paling panjang pernah dinikmati sejak bergelar insan seni. Selain itu, percutian berkenaan turut dirakamkan untuk program realiti berjudul CTDK-ation yang akan bersiaran sekitar Januari tahun depan di salah satu saluran di Astro.

Siti yang ditemui pada majlis ulang tahun pertama Yonder Music di Kuala Lumpur, Selasa lalu turut berkongsi perasaan teruja apabila klip video lagu duetnya bersama mendiang Whitney Houston, Memories bakal dilancarkan pada 10 Disember depan.

Dalam pada itu, beliau juga merupakan artis Malaysia pertama yang dilantik menjadi duta telefon pintar Vivo baru-baru ini.

Boleh ceritakan perkembangan klip video lagu Memories duet bersama mendiang Whitney Houston?

Siti: Selepas menunggu sejak bulan April lalu, akhirnya klip video berkenaan akan dilancarkan pada 10 Disember depan. Ia boleh ditonton di aplikasi Yonder Music atau salurannya di YouTube. Saya sedar ia mengambil tempoh masa lama untuk menyiapkan projek ini kerana bukan mudah bagi mendapatkan kebenaran menggunakan video serta gambar mendiang yang mempunyai hak cipta. Apa pun saya tetap berpuas hati melihat hasil akhir klip video berkenaan.

Adakah anda berharap menerusi lagu Memories tersebut akan membuka peluang ke pentas antarabangsa?

Sudah tentu, jika ada ruang dan peluang saya tidak akan melepaskannya. Namun, pada masa sama saya perlu mendapat restu suami untuk mengembangkan kerjaya ke luar negara. Justeru, saya serahkan semua usaha berkenaan ke atas pihak Yonder Music kerana mereka juga mempunyai perancangan ke arah itu.

Apakah perasaan anda apabila dilantik menjadi duta telefon pintar Vivo?

Saya amat bersyukur dan teruja kerana ini merupakan kali pertama pihak Vivo melantik artis dari Malaysia sebagai duta produk mereka. Saya telah mengikat kontrak sebagai duta bersama Vivo selama setahun.

Bahkan, ia boleh dijadikan satu platform kepada diri saya untuk lebih dikenali bukan sahaja di Malaysia, mungkin juga di luar negara.

Bagaimanakah dengan percutian anda di luar negara bersama keluarga baru-baru ini?

Apa yang boleh saya katakan adalah ia merupakan percutian sangat bermakna yang dilakar dalam hidup ini. Ia berikutan buat julung kalinya, saya dapat bercuti selama 20 hari atau tiga minggu di luar negara.

Bahkan, ia merupakan tempoh percutian paling lama pernah saya nikmati. Lebih istimewa, keluarga sebelah suami seramai 28 orang turut serta dalam percutian ke tiga buah negara iaitu Sepanyol, Portugal dan Emiriah Arab Bersatu.

Apakah pengalaman yang anda peroleh sepanjang percutian tersebut?

Sebenarnya sudah cukup lama kami sekeluarga tidak meluangkan masa bersama. Percutian itu merupakan peluang terbaik mengeratkan hubungan kekeluargaan, selain dapat menghayati sejarah Islam dan mempelajari budaya di negara-negara tersebut.

Musafir saya selama 20 hari itu sememangnya memberi input baik kerana sepanjang percutian, terdapat ustaz yang akan memberi tazkirah. Kebetulan kami dibawa ke tempat tidak pernah saya kunjungi sebelum ini seperti Alhambra, Sepanyol yang sarat dengan peninggalan Islam.

Khabarnya anda turut menjalani penggambaran program realiti pertama ketika percutian berkenaan. Boleh kongsikan pengalaman anda?

Walaupun merakam sebuah program realiti ketika percutian tetapi ia masih ditapis kerana saya tidak mahu melampaui batas. Ia dirakam sesuai dengan budaya masyarakat tempatan. Boleh dikatakan ia sebuah program realiti yang sarat dengan informasi.

Apakah perkara menarik yang dikongsi dalam program berkenaan?

Biasalah apabila pergi bercuti selama 20 hari dengan satu keluarga dan menaiki bas pelbagai drama pasti muncul (ketawa). Ada yang sedih, gembira, kelakar dan marah semuanya dimuatkan dalam program tersebut. Saya sendiri tidak sabar untuk menonton program sebanyak 10 episod berkenaan. Saya berharap program itu akan mendapat sambutan daripada peminat apabila ia disiarkan pada tahun depan.

Bagaimanakah dengan pembikinan album terbaharu?

Pihak saya telah menyenarai pendek sebanyak 300 buah lagu yang diterima. Agak pening kepala untuk memilih kerana terdapat komposer dari Malaysia dan Indonesia, ada juga popular serta baharu.

Paling penting melodi harus bagus, muziknya segar dan selebihnya saya serahkan kepada komposer Aubrey Suwito untuk membuat susunan lagu. Harapnya proses ini akan diselesaikan dalam masa terdekat kerana mengikut perancangan album baharu akan dikeluarkan pada Mac tahun depan.

Baca lagi: Datuk Siti Nurhaliza Dominasi Arena Muzik Tempatan

LEAVE A REPLY