Sunday, June 25, 2017
Home News Biz Pengeluaran Perodua Myvi Cecah Satu Juta Unit

Pengeluaran Perodua Myvi Cecah Satu Juta Unit

42
0

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) mengumumkan model Pero­dua Myvi, kenderaan ikonik selama lebih 12 tahun telah berjaya mencecah pengeluaran ke-sejuta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr. Aminar Rashid Salleh berkata, kejayaan berkenaan sekali gus menjadikan Myvi sebagai model paling tinggi yang dikeluarkan di bawah jenama Perodua.

Katanya, Myvi yang pertama kali diperkenalkan pada Mei 2005 merupakan kenderaan nombor satu Malaysia sehingga penghujung tahun 2014 dan terus menjadi antara model paling laris negara ketika ini.

“Perodua Myvi telah meletakkan standard baharu kepada kami dari segi penawaran produk dan harapan pelanggan serta menjadi penanda aras bagi kesemua model kenderaan yang akan dikeluarkan pada masa akan datang.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan berterusan kera­na berdasarkan pengiraan dalam­an, kesemua model kami iaitu Myvi, Alza, Axia dan Bezza juga berjaya mengekalkan kedudukan sebagai kenderaan pilihan dalam segmen masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagi memperingati peristiwa bersejarah itu, Perodua telah mengadakan majlis line-off khas di fasiliti pembuatan Perodua di Sungai Choh, Rawang yang telah dirasmikan oleh Presiden Perodua Auto Corporation Sdn. Bhd., Ma­sanori Takahashi dan Naib Presi­den Perodua Auto Corporation Sdn. Bhd., Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Dari segi eksport, model Myvi telah dijual di enam negara sejak tahun 2006 iaitu Mauritius, Brunei, Singapura, United Kingdom, Fiji dan Nepal di bawah jenama Perodua.

Pasaran eksport terbesar Myvi adalah Indonesia di bawah jenama Daihatsu Sirion dengan kira-kira 31,000 buah telah terjual sejak 2007 manakala secara keseluruhan, Perodua berjaya mengeksport 35,400 buah model Myvi/Sirion sejak tahun 2006 dalam pasaran-pasaran tersebut.

Dalam pada itu, Aminar Rashid berkata, Perodua juga telah berjaya menjual 81,900 buah kende­raan bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, peningkatan 5.9 peratus berbanding 77,300 buah bagi tempoh sama pada 2016.

“Kami menjangkakan jumlah jualan kenderaan (TIV) industri automotif bagi tempoh lima bulan tahun ini adalah 233,700 buah dan berdasarkan jumlah jualan kenderaan kami bermakna penguasaan pasaran kami tahun ini mencecah 35 peratus setakat Mei.

“Kami optimistik dalam mencapai jumlah sasaran jualan sebanyak 202,000 tahun ini walaupun keadaan pasaran yang tidak menentu dan agak mencabar,” katanya.

SOURCEUtusan
SHARE
Previous articleSome Killed In London Tower Block Fire
Next articleAzza Elite Nafi Sara Suami
'Graduated in Journalism with deep interest in social causes. Part-time writer & full-time coffee lover. I love triathlon, hiking, most people & beautiful things.'

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here