pengasas mydin
Foto oleh FMT

KUALA LUMPUR: Pengasas Mydin, rangkaian pasaraya terbesar negara, Mydin Mohamed Ghulam Hussein meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini semalam, kerana sakit tua.

Anak Allahyarham yang juga Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin, 60, berkata bapanya yang berusia 88 tahun itu meninggal dunia pada 5.06 petang.

“Bapa saya dibawa ke hospital kerana muntah-muntah selepas pulang dari kedai (Mydin) di Masjid India selepas waktu Zohor tadi,” katanya.

mydin
Pengarah Urusan, Datuk Ameer Ali Mydin

“Pagi tadi, arwah bapa kelihatan seperti biasa. Arwah pergi ke pasar raya Mydin di Jalan Masjid India, seperti biasa dan pulang ke rumah selepas waktu Zohor. Selepas itu arwah rehat di rumah, namun dia terjaga dan terus muntah darah.

“Ahli keluarga lain yang berada di rumah terus membawa bapa ke Hospital Pantai sebelum doktor mengesahkannya meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi.

Ameer berkata, arwah bapanya menghidap penyakit diabetes, namun tidak serius dan sering melakukan pemeriksaan kesihatan di hospital.

Beliau berkata jenazah dijangka dikebumikan di Mont Kiara selepas solat Zohor pada Rabu, setelah kepulangan anak bongsu Allahyarham yang menetap di Amerika Syarikat.

Lahir di Pulau Pinang pada 1928, Allahyarham meninggalkan isteri Rowshan Bai, 80, serta tujuh anak.

Ameer Ali berkata syarikat Mydin diasaskan arwah bapanya di Kota Baharu, Kelantan pada 1957.

“Arwah merupakan seorang yang sangat berdisiplin dan menepati waktu semasa berurusan dengan orang lain terutama dalam urusan perniagaan.

“Arwah juga sering mengingatkan anak-anaknya supaya makan duit yang halal dengan menjalankan perniagaan yang jujur,” kata Ameer Ali yang merupakan anak ketiga Allahyarham.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here