pengantin
Foto oleh FMT

PETALING JAYA: Hakikatnya ialah kos untuk berkahwin pada zaman ini memang mahal, tetapi terpulang kepada pasangan bakal pengantin untuk terus memilih majlis yang gah tapi telan belanja tinggi, atau sekadar bersederhana.

Perunding perkahwinan Einong Bridal, Salmee Suhana Kamaruddin berkata peningkatan kos akibat pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) oleh kerajaan dilihat belum cukup memberi kesan kepada pasangan pengantin.

Katanya, kos perkahwinan biasanya meningkat apabila pasangan pengantin mahu macam-macam untuk majlis mereka, seperti tambahan aksesori dan bunga.

Malah, katanya pada masa ini masih ada yang sanggup membelanjakan ratusan ribuan ringgit dan berhutang demi melihat tetamu kagum dengan majlis perkahwinan mereka.

“Sebenarnya isu kos kahwin mahal ini bukan masalah jika bakal pengantin bersikap realistik dalam merancang majlis perkahwinan mereka. Bak kata pepatah, ‘ukur baju di badan sendiri’.

“Jika mampu boleh sediakan bajet yang lebih dan jika tidak cukuplah bersederhana kerana pakej yang disediakan kebanyakan perunding banyak menawarkan majlis yang menarik dengan harga murah,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata apa yang penting bakal pengantin perlu berunding dulu dengan perunding majlis bagi memastikan keinginan mereka sepadan dengan bajet.

kahwin

Faktor peningkatan kos perkahwinan

Salmee yang sudah 4 tahun berkecimpung sebagai perunding perkahwinan berkata ada beberapa faktor menyebabkan majlis perkahwinan kini menjadi semakin mahal.

“Pengantin mahu macam-macam dan sebagai perunding kita akan ikut kehendak yang mereka ingini berdasarkan bajet mereka.

“Dan sebab itu kadang-kala kos menjadi tinggi kerana perunding perkahwinan terpaksa menyediakan barang perhiasan tambahan mereka seperti aksesori dan bunga hiasan yang mereka mahu,” katanya.

Pemilik butik perkahwinan Wishhper, Cheryl Kheng berkata sebagai perunding majlis beliau biasanya akan menasihati bakal pengantin supaya bersikap rasional dan berjimat cermat dalam memilih pakej perkahwinan.

“Ini kerana pelanggan yang datang bukan semua daripada keluarga berada. Walaupun bajet sederhana, kita sebagai perunding pastinya ada sentuhan yang boleh menghasilkan majlis perkahwinan yang menarik untuk mereka,” katanya.

Industri perkahwinan masih lumayan

Cheryl yang memulakan operasi butiknya pada 2015 berkata pendapatan yang diperoleh juga lumayan walaupun menganggap menjadi perunding perkahwinan ini bukanlah tugas yang mudah.

“Kerja ini rumit tetapi kita akan berpuas hati apabila pelanggan berpuas hati dengan hasil kerja. Kos perkahwinan memang tinggi tetapi jika perunding perkahwinan pandai mengurangkan kos bahan dan aksesori perkahwinan sememangnya ia memberi keuntungan.

“Kebanyakan pelanggan juga kini sudah berfikir rasional dengan menggunakan hiasan bunga tiruan pada majlis perkahwinan mereka. Tidak seperti dulu menggunakan bunga hidup dan selepas itu bunga tersebut dibuang dan itu menjadikan kos sedikit mahal,” katanya.

Perunding perkahwinan Whisper, Will Teng berkata ekonomi yang merudum tidak menjejaskan perniagaannya kerana masih ramai bakal pasangan memerlukan perunding perkahwinan untuk membantu mereka.

“Melangsungkan majlis perkahwinan bukan mudah kerana mereka terpaksa menguruskan pelbagai persiapan. Terutamanya pasangan yang bekerja di luar negara. Kebiasaannya mereka tidak ada masa untuk mengurus dan merancang majlis perkahwinan mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here