Graduan OKU

KUALA NERUS, 19 Nov — “Selama 13 tahun saya menanti detik bersejarah ini kerana ia pengembaraan ilmu begitu sukar dan mencabar untuk saya mendapatkan segulung ijazah,” kata Mazira Alias, 30, graduan OKU (Orang Kelainan Upaya) Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Penerima Ijazah Sarjana Muda Kaunseling itu dikategorikan OKU selepas empat jarinya hilang akibat kemalangan ketika menggunakan mesin tebu lima tahun lepas.

“Selepas tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 2005, saya membuat pelbagai pekerjaan untuk mengumpul duit sebagai persediaan menyambung pelajaran ke universiti, dan ditawarkan mengikuti pengajian dalam Multimedia di Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Namun, saya tidak dapat menghabiskan pengajian kerana tidak meminati bidang tersebut, tambahan pula hati sentiasa teringat pada keluarga yang hidup susah di Sungai Tong, Setiu, Terengganu menyebabkan saya berhenti daripada UUM dan cuba memohon kemasukan ke UMT.

“Sementara menunggu tawaran ke UMT, banyak kerja saya lakukan seperti berniaga pisang goreng dan air tebu, menyapu sampah, mengutip tin dan botol terpakai. ..hasilnya saya berjaya mengumpul RM3,000,” katanya ketika ditemui pemberita di majlis Konvokesyen Ke-14 UMT yang disempurnakan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah di sini hari Sabtu.

Mazira yang juga anak sulung daripada enam beradik, akhirnya menerima khabar gembira kerana ditawarkan tempat ke UMT dalam pengajian kaunseling, namun ujian terus menimpanya apabila hilang empat jari ketika berniaga air tebu.

“Habis semua wang simpanan RM3,000 saya gunakan untuk rawatan…hati mula berbelah bahagi sama ada mahu masuk ke UMT atau tidak, namun berkat dorongan ibu bapa, saya meneruskan hasrat untuk mendapatkan ijazah.

“Saya mendaftar ke UMT dengan tangan masih berbalut, syukur saya terima bantuan zakat daripada pihak universiti…malah ketika di UMT, saya juga buat kerja sambilan bagi menampung perbelanjaan termasuk bekerja di kedai dobi dan pernah menggantikan pengawal keselamatan di beberapa sekolah berhampiran, yang tidak datang bekerja,” katanya.

Mazira yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan sambilan di Sekolah Kebangsaan Sungai Tong, berkata walaupun sibuk bekerja, dia tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai pelajar.

“Walau pencapaian CGPA saya hanya 2.69, saya berharap boleh mengubah nasib keluarga dan menjadi motivasi kepada diri saya dan OKU lain untuk terus berusaha menyambung pelajaran,” katanya yang masih mencari pekerjaan tetap untuk masa depan lebih baik.

LEAVE A REPLY