Pemimpin

KOTA KINABALU – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pemimpin Barisan Nasional (BN) bukan pemimpin bermusim yang hanya turun padang ketika pilihan raya.

Jelasnya, pemimpin BN sentiasa mendengar rintihan rakyat dan memberi bantuan tanpa mengira waktu.

“Kita (BN) sentiasa prihatin dan mengambil peduli kebajikan rakyat demi kesejahteraan rakyat keseluruhan.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) pula sentiasa mendekatkan diri dengan rakyat dan komited untuk merapatkan atau mencantumkan jurang antara rakyat di bandar dengan luar bandar,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen Sepanggar di Sekolah Kebangsaan Tebobon, Manggatal.

Ahmad Zahid juga mengakui hubungan baik antara pemimpin kerajaan pusat dan negeri membolehkan kebajikan rakyat terus dibela.

Beliau memuji kesungguhan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dalam memenuhi keperluan rakyat di negeri ini.

“Datuk Seri Musa cukup prihatin dalam memajukan ekonomi Sabah dan sentiasa mengambil pendekatan rundingan untuk menambah peruntukan pembangunan yang tidak cukup.

“Oleh yang demikian, pintu saya dan juga pintu Perdana Menteri sentiasa terbuka untuk rundingan (peruntukan untuk rakyat),” katanya.

Ahmad Zahid turut memberitahu beliau dan pemimpin BN sentiasa mengenang budi rakyat yang telah menyokong parti.

Katanya, kehadiran rakyat dalam program berbentuk turun padang memberi suntikan semangat kepada BN untuk memperhebatkan usaha dalam membela rakyat.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here