pembangunan infrastruktur

Sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, pembangunan infrastruktur telah menjadi satu keutamaan kerajaan Malaysia. Hasil ketekunan sejak beberapa tahun yang lalu, pelaburan dalam pembangunan infrastruktur telah mendatangkan hasil dan menyelesaikan pelbagai masalah khasnya berkaitan kesalinghubungan dalam pengangkutan dan kemudahan asas untuk rakyat.

Pelbagai dasar, projek dan agensi dibentuk bagi meningkatkan pembangunan infrastruktur Malaysia. Bermula dari Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Nasional sehinggalah Dasar Wawasan Negara merupakan dasar yang telah digubal bagi melonjakkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia. Komitmen berterusan kerajaan dalam memaju dan menaik taraf infrastruktur telah menjadikan infrastruktur Malaysia sebagai salah satu yang termaju dalam kalangan negara perindustrian baru di Asia.

Perkembangan infrastruktur Malaysia juga dilihat semakin meningkat kerana pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang telah dikecapi sejak kebelakangan ini. Lantaran itu, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di bawah teras strategi ‘memperkukuh infrastruktur bagi menyokong pertumbuhan ekonomi’, memberi tumpuan kepada pelaburan baharu dalam pembinaan jalan raya, rel dan perkhidmatan udara untuk menambah baik tahap produktiviti, kecekapan dan perkhidmatan. Manakala capaian digital akan ditambah baik melalui peluasan infrastruktur jalur lebar selain inisiatif perkhidmatan jalur lebar yang mampu dibayar. Sektor lain yang akan dipertingkatkan adalah logistik dan fasilitasi perdagangan, rangkaian dan rawatan air, serta peningkatan jaminan dan keandalan sektor tenaga. Inisiatif-inisiatif tersebut dilaksanakan bagi memperkukuhkan asas pengembangan ekonomi dalam tempoh RMK-11 dengan persekitaran yang mampu menyokong pertumbuhan.

Kementerian Pengangkutan akan terus melaksanakan program pembangunan infrastruktur melalui peruntukan sebanyak RM6.8 bilion bagi tahun 2016 meskipun berhadapan dengan kelembapan ekonomi khususnya kejatuhan harga minyak dunia. Pelaksanaan program pembangunan infrastruktur tersebut penting bagi memastikan pembangunan ekonomi yang berterusan dalam usaha menuju negara maju menjelang tahun 2020. Tempoh lima tahun RMK-11 juga dilihat cukup signifikan untuk Malaysia mencapai Wawasan 2020.

Perkembangan positif dalam pembangunan infrastruktur akan membawa pengagihan semula aktiviti ekonomi, seterusnya memberi kesan luaran kepada sistem kewangan, dan juga persekitaran, rangkaian pengangkutan ekonomi, pasaran buruh dan penumpuan firma dan seterusnya ia menpengaruhi pertumbuhan ekonomi.

Kesimpulannya, pembangunan infrastruktur adalah penting bagi memastikan rakyat mempunyai akses kepada kemudahan asas dan perkhidmatan seperti pengangkutan, komunikasi, elektrik dan air bersih. Integrasi pelbagai mod pengangkutan yang lebih baik akan memudahkan pergerakan orang dan barangan dengan lebih lancar. Di samping itu, infrastruktur yang cekap dapat mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan seterusnya meningkatkan produktiviti dan daya saing negara. Oleh itu, infrastruktur yang baik menjadi asas kepada penyertaan sosial serta perkembangan dan pertumbuhan ekonomi.

Artikel berkaitan: Industri Kecil Dan Sederhana Bantu Jana Ekonomi Negara

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here