Peluang

Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, Barisan Nasional (BN) perlu segera mengatur strategi untuk meningkatkan peluang bagi memenangi lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bekas menteri kewangan itu berpendapat, BN mempunyai peluang paling cerah untuk menamatkan penguasaan 27 tahun kerajaan PAS Kelantan pada PRU-14 akan datang.

“BN mampu kembali mentadbir kerajaan negeri ini, tetapi perlu mengatur strategi mulai sekarang. Strategi yang diatur akan membolehkan BN merampas semula pemerintahan kerajaan daripada PAS yang dipegang sejak 1990,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Pada PRU13, PAS memenangi 32 kerusi DUN, BN 12 manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang satu kerusi DUN.

Veteran Umno itu berkata, keyakinan BN menawan semula negeri itu berdasarkan keinginan rakyat Kelantan yang mahukan pembaharuan selepas melihat kelemahan PAS mentadbir negeri ini dan gagal membawa sebarang perubahan sepanjang memerintah.

Dalam pada itu, beliau turut menyokong tindakan masyarakat Orang Asli di jajahan Gua Musang mempertahankan tanah yang mereka usahakan daripada diceroboh pihak luar.

“Kita faham kerajaan negeri bergantung kepada hasil balak tetapi perlu menjaga hak kaum berkenaan ke atas tanah mereka, ” katanya.

Dilapor, terdapat kemelut di Gua Musang yang melibatkan masyarakat Orang Asli yang mendakwa mereka semakin terancam akibat aktiviti pembalakan sehingga mendirikan halangan di laluan masuk ke kawasan Hutan Simpan Kekal Balah, sejak September tahun lepas.

– Bernama –

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here