malaysia
Cover image via FMT

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelaburan langsung asing (FDI) adalah penting bagi pertumbuhan ekonomi negara.

 

Beliau berkata, rakyat asing yang melabur di Malaysia tidak boleh membawa balik infrastruktur yang dibina mereka di Malaysia ke negara asal mereka.

 

“Oleh itu, bagi mereka yang menuduh kerajaan menjual Malaysia kepada China, ia tidak ma­suk akal langsung, mungkin di­sebabkan cemburu atau didorong perasaan iri hati,” katanya kepada diaspora dan pelajar Malaysia dalam majlis makan malam di sini, semalam.

 

“Pendirian saya jelas, dan saya melakukannya untuk Malaysia dan rakyat dalam memastikan ekonomi negara berada pada tahap yang tinggi,” katanya.

 

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, usaha beliau mendapatkan FDI adalah mewujudkan peluang kerja bergaji tinggi dan prospek yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.

 

“Jika ekonomi tidak berkembang, maka rakyat Malaysia akan menghadapi masalah untuk mendapat pekerjaan yang baik,’’ kata Najib.

 

Beliau menasihatkan pelajar Malaysia di China supaya melihat ke dalam diri mereka dan tidak berfikiran sempit, tetapi untuk bersahabat dan memahami budaya dan tamadun orang China dan belajar tentang apa yang menjadikan mereka begitu bermotivasi dan berbeza daripada orang lain.

 

Katanya, di sebalik kelemba­pan ekonomi dunia, ekonomi China masih berkembang pada kadar 6.5 peratus setahun.

 

Sebelum itu, Najib menerima kunjungan hormat daripada Gabenor wilayah Hebei, Zhang Qingwei dan mendengar taklimat daripada pengasas dan pengerusi Genting Secret Garden, Datuk Lim Chee Wah berhubung pelaburan mereka di Zhangjiakou bagi membangunkan puncak gunung di kawasan itu sebagai destinasi pelancongan terkenal dunia dan venue bagi Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.

 

Taman Salji syarikat itu te­lah dipilih sebagai venue Sukan Olim­pik bagi acara ski gaya bebas dan snowboarding.

 

 

LEAVE A REPLY